Sabtu, 21 Disember 2019 | 1:19pm
Pengendali baharu Chelsea, Frank Lampard. - Foto premierleague.com/
Pengendali baharu Chelsea, Frank Lampard. - Foto premierleague.com/

Lampard enggan ikut gaya Mourinho

LONDON: Frank Lampard menegaskan dia enggan meniru gaya unik Jose Mourinho dalam usaha pengendali Chelsea itu mengatasi kepintaran bekas pengendalinya menjelang aksi penting menentang Tottenham esok.

Pertemuan pertama Liga Perdana Inggeris di antara Lampard dan Mourinho bakal menentukan pasukan London mana yang akan meraikan Krismas dalam kelompok empat teratas.

Mourinho memainkan peranan dalam membentuk Lampard sebagai pemain tengah terbaik Chelsea sepanjang zaman ketika mereka berada di Stamford Bridge.

Keupayaan Mourinho dalam bidang kejurulatihan sudah terbukti selepas meraih pelbagai trofi sepanjang 19 tahun kariernya, manakala Lampard baru saja membina nama dalam dunia pengurusan dan kejurulatihan.

Bekas pemain tengah England itu berada dalam musim keduanya sebagai pengurus selepas meninggalkan kelab Liga Kejuaraan, Derby untuk mengendali Chelsea bermula Julai lalu.

Lampard mengakui Mourinho membawa pengaruh besar ke atasnya sebagai pemain, namun dengan tugasnya sebagai pengurus, dia akan menentukan haluannya sendiri berbanding mengikut gaya pengendali dari Portugal itu.

Ditanya mengenai pelajaran terpenting yang diambilnya ketika bekerja di bawah Mourinho, Lampard berkata: “Tiada satu pun, dia memang pengendali yang bagus dengan ciri-ciri yang baik.

“Namun tiada satu perkara yang khusus yang saya belajar ketika berada dengannya, dan saya tidak mahu berjaya sebagai seorang klon atau apa saja.

“Saya gembira menentang Jose, bagi saya yang bermain di bawahnya, dia membawa pengaruh besar terhadap karier saya.” – AFP

Berita Harian X