Ahad, 15 Disember 2019 | 12:36pm
JURULATIH Chelsea, Frank Lampard. - Foto AFP
JURULATIH Chelsea, Frank Lampard. - Foto AFP

Chelsea terlalu berhati-hati - Lampard

LONDON: Jurulatih Chelsea, Frank Lampard menggesa pemainnya supaya membuktikan keberanian ketika mengharungi kesukaran selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada Bournemouth di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Lampard tewas buat kali keempat dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana yang menyaksikan Dan Gosling meledak gol tunggal permainan yang dibantu Video Bantuan Pengadil (VAR) enam minit sebelum aksi berakhir.

Ia lebih mengecewakan buat bekas pemain Chelsea itu apabila pemainnya sekali lagi gagal untuk merobek gawang pasukan lawan yang menampilkan corak bertahan serta mengharapkan serangan balas sekali pun menguasai permainan.

Justeru, Lampard percaya punca kepada masalah yang dihadapi oleh pasukannya adalah kebolehan mereka untuk ‘membunuh’ permainan terutama ketumpulan pemainnya di bahagian serangan.

Ketika ditanya mengenai personaliti pasukannya mudanya yang berdepan kesukaran selepas mengharungi permulaan mengujakan, Lampard mengakui mereka perlu melakukan sesuatu.

“Kini kami perlu berdepan dengan realiti. Jika kami tidak berada di tahap terbaik, jika pemain-pemain tidak menampilkan kualiti untuk menewaskan pasukan yang tersusun, jadi kami perlu mencari jalan yang lain.

“Kami perlu mempunyai personaliti. Apa pasukan bermain dengan corak bertahan menentang kamu. Kamu perlu menanganinya dengan baik.”

Sekalipun keputusan mengekalkan kedudukan Chelsea di tangga keempat liga, mereka hanya meledak 11 gol di gelanggang sendiri musim ini dan Lampard akhirnya akur pemainnya mula bergelut dengan tekanan. - AFP

 

 

Berita Harian X