Sabtu, 14 Disember 2019 | 12:59pm

Kedah sambar Amin Nazari, Mohd Azri

ALOR SETAR: Teka-teki kuota pemain import kelima Kedah akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan bekas pemain Ratchaburi FC yang juga pemain kebangsaan Filipina, Amin Adam Lazarte Nazari atau dipanggil Amin Nazari sebagai pemain tengah skuad Lang Merah untuk musim 2020. 

Pemain berusia 26 tahun kelahiran Sweden serta memiliki kerakyatan Filipina ini bakal melengkapkan kuota import Asia untuk Kedah.

Kehadirannya bakal memperkukuhkan bahagian tengah skuad kendalian ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak. 

Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustaffa berkata, pihaknya dalam persiapan melengkapkan senarai pemain menjelang musim 2020. 

"Saya mengumumkan pemain import kuota Asia bagi pasukan Liga Super Kedah ialah Amin Adam Lazarte Nazari, berumur 26 tahun, dilahirkan di Sweden dan mempunyai kerakyatan Filipina."

"Beliau pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Filipina dan kelab Ratchaburi Mitr Phol FC di Thailand.

“Amin dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar pada jam 2.30 petang esok." katanya.

Menurut rekod, Amin Nazari memulakan karier di Sweden dengan menyertai kelab Malmo FF pada 2011 dan kemudian menyertai kelab Assyriska FF pada 2013. 

Bermula 2015, beliau beraksi bersama kelab ternama Norway, Fredrikstad Fotballklubb dan kemudian kembali beraksi di Sweden bersama kelab Falkenbergs FF pada 2016.

Amin kemudian menyertai kelab liga Finland iaitu IFK Mariehamn sebelum ke Asia Tenggara untuk bersama kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC pada 2019.

Sementara itu, KFA juga turut mengumumkan kemasukan seorang lagi penjaga gol baharu, Mohd Azri Abdul Ghani bagi memantapkan lagi Kedah musim depan.

"Pihak pengurusan juga mengucapkan selamat datang buat Amin dan Azri," katanya.

Berita Harian X