Selasa, 10 Disember 2019 | 8:08pm
Frank Lampard. - Foto Reuters
Frank Lampard. - Foto Reuters

Lampard boleh jadikan Chelsea 'kuasa besar' England, Eropah

LONDON: Frank Lampard akan menjadikan Chelsea ‘kuasa besar’ di England dan Eropah, kata bekas pemain kelab itu Jose Bosingwa.

Lampard yang juga bekas pemain tengah Blues kembali ke Stamford Bridge sebagai jurulatih pada musim panas lalu selepas meraih pelbagai kejayaan sebagai pemain.

Dia membantu Chelsea menakluk saingan domestik dan benua yang menyaksikan kelab milik jutawan Russia, Roman Abramovich itu memenangi pelbagai trofi dan kejayaan.

Justeru, Bosingwa menjangkakan bekas rakan sepasukannya itu akan menambah koleksi kejuaraan dan menyifatkan bekas pemain kebangsaan England memiliki apa yang diperlukan untuk membawa kembali trofi ke Stamford Bridge.

“Seperti detik yang kami lalui pada 2012 (memenangi Liga Juara-Juara), saya yakin Frank akan mengemudi Chelsea untuk mengharungi tempoh seperti ini sekali lagi dan dia akan membantu pasukannya menguasai situasi itu,” kata Bosingwa yang bermain di Chelsea pada 2008 hingga 2012.

“Frank mungkin pemain terbaik yang pernah saya bermain bersama sepanjang hidup saya, jadi saya tidak meragui kemampuannya sebagai jurulatih dan komitmen yang dia akan tunjukkan.

“Dia akan mengajar pemain-pemain muda ini apa maknanya bermain untuk Chelsea, bagaimana perasaan menjadi pemain Chelsea dan apa sebenarnya Chelsea sebagai kelab dan rumah kami.

“Dia akan memberikan mereka keyakinan dan kuasa untuk menjadikan Stamford Bridge kuasa besar sekali lagi bukan saja di England, tetapi juga di Eropah. Suasana di Bridge menakjubkan, terutama ketika malam perlawanan di pentas Eropah.

“Setiap pemain mahu merasai pengalaman ini di Eropah dan fokus kamu secara tiba-tiba meningkat kepada 200 peratus. Tetapi apa yang Frank boleh tambah adalah membiarkan mereka bebas dan menikmati tekanan.”

Lampard menjadi tumpuan apabila Chelsea melantiknya sebagai pengurus, musim panas ini yang menyaksikan kelab itu berdepan sekatan pembelian pemain selain pengalaman singkatnya sebagai pengurus di Derby.

Lampard sudah mengemudi pasukannya menghuni kedudukan empat terbaik Liga Perdana ketika ini dan berharap untuk mengesahkan tempat ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara apabila Chelsea bertemu Lille di gelanggang sendiri, awal pagi ini. - Agensi

 

 

Berita Harian X