Jumaat, 29 November 2019 | 10:35am
Bekas tonggak pertahanan Arsenal, Martin Keown (kiri) dan pengendali Unai Emery. - Foto GettyImage
Bekas tonggak pertahanan Arsenal, Martin Keown (kiri) dan pengendali Unai Emery. - Foto GettyImage

Emery sudah tiba ke jalan mati - Keown

LONDON: Bekas tonggak pertahanan Arsenal, Martin Keown mahu Unai Emery menerima hakikat dan melepaskan jawatannya selepas aksi terburuk apabila kalah 1-2 di tangan Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa, pagi tadi.

Jaringan kedua Daichi Kamada memadamkan kelebihan awal hasil jaringan kapten, Pierre-Emerick Aubameyang dan menyebabkan Arsenal menanggung kekalahan ketujuh dalam semua pertandingan setakat ini.

Tambah pilu apabila kedatangan penonton di Stadium Emirates juga sekadar 49,419 orang dan yang hadir pula mengejek Emery dan anak buahnya sejurus tamat perlawanan sambil merentang kain pemidang meminta Emery meninggalkan Emirates.

Keown, yang mencapai kemuncak kerjayanya di Arsenal ketika dibimbing oleh George Graham dan Arsene Wenger merasakan bekas bos Sevilla dan Paris Saint-Germain itu sudah menuju ke jalan mati seperti terbukti menerusi siri kekalahan dan kemerosotan anak buahnya ketika ini.

"Pada saya, eloklah dia tinggalkan saja pasukannya secepat mungkin yang dia boleh,” kata Keown kepada BT Sport.

"Kita baru saksikan betapa teruknya prestasi anak buahnya pada babak kedua. Dari senarai pemain yang dipilihnya, motivasi, pemain gantian, dan pretasi semuanya tidak kelihatan malam ini. Ia persembahan terburuk.

"Adakah dia masih menyuntik motivasi kepada pasukan? Dia kelihatan sudah hilang pasukannya. Nalurinya ke atas pasukan sudah pudar,” katanya.

Dalam pada itu, pihak bookie di England sudah bertaruh Emery akan menjadi pengurus ketiga Liga Perdana Inggeris dipecat musim ini selepas nasib malang menimpa pengurus Watford, Javi Gracia dan terbaru, Mauricio Pochettino yang dipecat Spurs minggu lalu. - Agensi

Berita Harian X