Isnin, 18 November 2019 | 10:10am
PEMAIN Perancis, Corentin Tolisso (kanan) mengasak pemain Albania, Keidi Bare pada aksi kelayakan Euro 2020 di Arena Kombetare, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Perancis, Corentin Tolisso (kanan) mengasak pemain Albania, Keidi Bare pada aksi kelayakan Euro 2020 di Arena Kombetare, awal pagi tadi. - Foto AFP

Perancis rai kemenangan di stadium baharu Albania

TIRANA: Juara dunia, Perancis menampilkan persembahan baik dalam perlawanan julung kali diadakan di stadium baharu Albania, Arena Kombetare ketika jaringan Corentin Tolisso dan Antoine Griezmann memberikan mereka kemenangan 2-0 pada kelayakan Euro 2020 Kumpulan H awal pagi tadi.

Selepas mengesahkan kemaraan ke kejohanan disertai 24 negara itu tahun depan, Perancis menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan dengan 25 mata daripada 10 perlawanan, dua di depan pasukan tangga kedua, Turki yang menang 2-0 di Andorra.

Albania, yang tiada peluang untuk menghuni dua kedudukan teratas, tampak kurang berbisa di depan penyokong sendiri serta perwakilan UEFA termasuk ketua badan induk itu, Aleksander Ceferin.

PEMAIN Perancis, Antoine Griezmann (kiri) diasak pemain Albania, Berat Djimsiti pada aksi kelayakan Euro 2020 di Arena Kombetare, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Perancis, Antoine Griezmann (kiri) diasak pemain Albania, Berat Djimsiti pada aksi kelayakan Euro 2020 di Arena Kombetare, awal pagi tadi. - Foto AFP

Tolisso meledak jaringan buat Perancis selepas lapan minit apabila dia menanduk masuk hantaran percuma Griezmann dari kiri.

Griezmann menambah jaringan kedua pada minit ke-31 apabila menyambar hantaran lintang rendah Leo Dubois yang menyaksikan jurang ketara antara kedua-dua pasukan di depan 22,000 penyokong.

Perancis terus memberi tekanan selepas rehat dan Olivier Giroud terlepas tiga peluang untuk menambah jaringan apabila dua kali dinafikan penjaga gol, Etrit Berisha manakala satu lagi terkena tiang.

Sementara itu Turki yang juga sudah mengesahkan tempat berbaki satu perlawanan, mengatasi Andorra hasil dua jaringan babak pertama penyerang, Enes Unal. - Reuters

Berita Harian X