Isnin, 4 November 2019 | 12:05pm
Christian Pulisic. - Foto AFP
Christian Pulisic. - Foto AFP

Pulisic dapat kepercayaan Lampard

LONDON: Christian Pulisic terpaksa bersabar sepanjang beberapa bulan pertama kariernya bersama Chelsea, tetapi kapten dan arkitek Amerika Syarikat itu kini mempunyai peluang untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah selepas mendapat tempat dalam kelab Inggeris yang meningkat naik itu.

Pulisic menjaringkan gol keempatnya dalam dua penampilan Liga Perdana Inggeris untuk memastikan kemenangan 2-1 di Watford pada Sabtu, seminggu selepas menjadi pemain Chelsea paling muda meledak hatrik ketika kemenangan 4-2 di Burnley.

Tempoh dua minggu yang mengubah musim pertama pemain 21 tahun itu di England bermula dengan aksi Liga Juara-Juara menentang Ajax, di mana dia masuk sebagai pemain gantian untuk membantu gol kemenangan jaringan Michy Batshuayi di Johan Cruyff Arena dan memberikan kekalahan pertama buat juara Belanda itu sejak Mei.

Sebelum itu Pulisic terpaksa memanaskan bangku simpanan di Chelsea sejak kepulangannya ke London.

Ajac bertandang ke Stamford Bridge esok dalam usaha membalas dendam, tetapi buat pertama kali musim ini Pulisic bakal memulakan permainan dalam kancah pertandingan elit Eropah selepas kehadirannya memikat hati pengendali, Frank Lampard.

“Jika dia terus meneruskan apa yang dilakukannya, jumlah jaringan pasti bertambah,” kata Lampard selepas Pulisic meneruskan ketajamannya dengan jaringan di Watford. “Persembahannya secara keseluruhan juga terbaik.”

Kemenangan di Vicarage Road menyaksikan Chelsea menyamai rekod kelab untuk tujuh kemenangan berturut-turut di tempat lawan dengan Lampard dipuji atas keupayaannya mengubah malang penggantungan perpindahan musim panas dan kehilangan Eden Hazard kepada suasana positif di Stamford Bridge.

Pulisic dipinggirkan dalam lapan aksi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara, termasuk tidak disenaraikan ketika kemenangan 2-1 di Lille bulan lalu.

“Anda ingin bermain, berada di atas padang dan dalam pasukan sekerap mungkin dan ia amat menyakitkan apabila ia tidak berlaku,” kata Pulisic selepas ditinggalkan ketika pasukan bertandang ke Perancis.

Kini Pulisic boleh memanfaatkan peluang beraksi di pentas tertinggi Eropah yang diidamkannya, manakala Lampard mempunyai satu lagi pilihan di barisan depan dalam usaha membentuk skuad mantap pada musim pertamanya sebagai pengendali Chelsea. – AFP  

 

 

 

 

 

Berita Harian X