Selasa, 29 Oktober 2019 | 9:59pm
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Sokong jurulatih pilih pengganti Alves, Rizal

ALOR SETAR: Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris mahu semua pihak termasuk penyokong memberi sokongan penuh kepada pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak dalam menentukan pengganti pemain pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali bagi aksi final Piala Malaysia.

Beliau juga memberi jaminan pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada jurulatih berkenaan dan barisannya untuk menyediakan taktikal paling berkesan serta mujarab untuk semua pemain pasukan itu sebelum turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

"Dalam menentukan barisan pertahanan, saya berasakan beliau mempunyai perancangan tersendiri seperti ketika Kedah beraksi di perlawanan akhir Piala FA menentang Perak pada Julai lalu.

"Justeru, saya tetap yakin dan berasakan pemain yang akan digantikan nanti dapat bermain setaraf dengan semangat yang ditunjukkan Renan dan Rizal. Mereka mampu menunjukkan semangat yang sama,” katanya mengulas ketiadaan Alves dan Rizal pada aksi final nanti akibat penggantungan.

Mengulas lanjut, Asmirul turut berpuas hati dengan segala persiapan yang sedang sedang dilakukan oleh jurulatih dan semua pemain serta pengurusan untuk merealisasikan impian Kedah menjuarai Piala Malaysia kali ini.

"Menjuarai Piala Malaysia adalah cita-cita kami. Jadi pemain perlu tanamkan keyakinan dalam diri sendiri, bermain dengan semangat luar biasa, menjalin kerjasama dalam pasukan seperti abang dan adik serta memiliki semangat bekerja seperti sebuah keluarga.

"Selain itu, kita tahu JDT adalah pasukan yang terbaik dalam Liga Malaysia. Untuk itu kita mesti tingkatkan disiplin, mendengar dan patuh kepada arahan jurulatih yang antaranya menjadi senjata utama untuk Kedah apabila beraksi nanti,” katanya.

Menyentuh mengenai tiket yang akan mula dijual di Stadium Darul Aman, pada Khamis, Asmirul turut menasihatkan penyokong agar mengelak dari mendapatkannya daripada pihak ketiga yang berisiko untuk tiket palsu.

"Kita sudah menasihatkan penyokong agar berhati-hati dalam urusan pembelian tiket kerana berisiko kepada penjualan tiket palsu yang sedang dalam perhatian polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Bagi penyokong yang membuat tempahan melalui bas, mereka juga harus pastikan bas yang ditempah bersama tiket itu berada dalam senarai dikelolakan oleh KFA bagi memastikan keselamatan mereka dan mengelak sebarang kes tanpa permit," katanya.

Berita Harian X