Sabtu, 5 Oktober 2019 | 11:22am
Penyerang Manchester City, Riyad Mahrez.
Penyerang Manchester City, Riyad Mahrez.

Mahrez kembali pamer prestasi sebenar

MANCHESTER: Selepas penampilan musim pertama yang mengecewakan di Manchester City, Riyad Mahrez akhirnya kembali menemui sentuhan terbaik untuk membantu juara bertahan itu meneruskan perseteruan hebat dengan pencabar utama Liverpool.

Malah, dia dijangka terus memainkan peranan penting apabila City menerima kunjungan Wolves bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), esok.

Prestasi hambar awalnya di Stadium Etihad, seakan menyebabkan perpindahan rekod pembelian kelab 60 juta pound (RM309.8 juta) dari Leicester itu hampir bertukar menjadi mimpi ngeri.

Mahrez jelas gagal mengulangi prestasi yang membawanya memenangi anugerah pemain terbaik tahunan PFA ketika membantu Leicester menjulang gelaran EPL 2016 selepas ditenggelami kelibat Raheem Sterling dan Bernardo Silva.

Sejak itu Pep Guardiola membayangkan Mahrez seolah-olah tidak gembira dengan kekurangan aksi yang dianggap menjejaskan persembahannya.

"Dia pemain berkualiti. Hanya satu yang perlu ditingkatkannya iaitu perlu lebih tenang apabila tidak diturunkan. Yang lain semuanya sudah terbaik," kata Guardiola.

Malang bertimpa buat Mahrez di Liverpool Oktober lalu apabila penaltinya melambung tinggi sekali gus meragut kemenangan City ke atas pencabar utama mereka itu.

Tetapi Guardiola terus yakin dengannya dan kepercayaan itu tampak berbalas sejak awal musim ini apabila Mahrez menjadi watak utama City.

Dia beraksi dalam 10 daripada 11 perlawanan pertama City dengan meledak tiga jaringan termasuk gol sepakan percuma ke atas Everton, minggu lalu - selain membuat tujuh umpanan gol.

"Sepanjang musim ini dia beraksi dengan begitu menakjubkan," kata Guardiola. "Dia adalah pemain luar biasa. Saya gembira untuknya kerana dia beraksi pada tahap yang hebat." – AFP

 

 

Berita Harian X