Rabu, 2 Oktober 2019 | 8:01am
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo (tengah) mengawal bola dari pemain Bayer Leverkusen pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo (tengah) mengawal bola dari pemain Bayer Leverkusen pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto EPA

Ronaldo ceriakan Juventus

TURIN: Cristiano Ronaldo meledak gol pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini ketika Juventus menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 dalam aksi Kumpulan D di gelanggang sendiri, awal pagi tadi.

Ronaldo melengkapkan gol ketiga Juve pada minit ke-89 untuk meningkatkan rekod jaringannya kepada 127 gol sepanjang kejohanan dengan kedua-dua lagi jaringan juara Itali itu disumbangkan Gonzalo Higuain dan Federico Bernardeschi.

Juventus melangkah ke tangga teratas kumpulan selepas mengutip empat mata dan dibezakan dengan Atletico Madrid menerusi jumlah jaringan selepas kelab Sepanyol itu turut menang 2-0 ke atas Lokomotiv Moscow di Russia.

Pada aksi pembukaan, Juve dan Atletico terikat 2-2 di Stadium Wanda Metropolitano.

“Kami memperoleh permainan yang bagus menentang pasukan yang gemar menguasai bola dan tidak mudah untuk menangani mereka,” kata jurulatih Juventus, Maurizio Sarri.

“Mereka membuatkan kami mengeluarkan banyak tenaga pada babak pertama. Selepas rehat, mereka memperlahankan rentak sedikit dan kami mengambil alih kawalan.”

Pemain Bayer Leverkusen, Jonathan Tah dicabar pemain Juventus, Aaron Ramsey pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain Bayer Leverkusen, Jonathan Tah dicabar pemain Juventus, Aaron Ramsey pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Kekalahan menyaksikan Leverkusen berdepan tugasan sukar untuk mara apabila turut tewas 2-1 di gelanggang sendiri pada aksi pertama kepada Lokomotiv Moscow.

“Jelas ia kekalahan yang mutlak,” kata jurulatih Leverkusen, Peter Bosz. "Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan sekali pun tidak mencipta banyak peluang, kami kemudian melakukan kesilapan yang membawa kepada gol pertama.

“Ia adalah perbezaan di antara pasukan yang mempunyai pengalaman di Liga Juara-Juara dan pasukan yang baru memulakan perjalanan di tahap ini.” - AFP

Berita Harian X