Ahad, 29 September 2019 | 8:07am
PEMAIN Chelsea, Jorginho menjaringkan gol menerusi penalti ketika menentang Brighton & Hove Albion pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Chelsea, Jorginho menjaringkan gol menerusi penalti ketika menentang Brighton & Hove Albion pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Chelsea ceria di Stamford Bridge

LONDON: Gol pada babak kedua menerusi penalti Jorginho dan rembatan Willian menghadiahkan Chelsea kendalian Frank Lampard kemenangan 2-0 terhadap Brighton & Hove Albion, awal pagi tadi.

Ia sekali gus membenarkan Chelsea menamatkan kemarau kemenangan di gelanggang sendiri, Stamford Bridge dalam kempen Liga Perdana musim ini.

Jorginho menyempurnakan penalti selepas pertahanan Brighton, Adam Webster gagal mengawal bola dengan baik sebelum bertindak menjatuhkan Mason Mount ketika pemain tengah muda Chelsea itu bergegas untuk mengambil peluang.

Willian kemudian menyumbat gol kedua tuan rumah pada minit ke-75 selepas rembatannya tertampan pertahanan Dan Burn yang menyaksikan penjaga gol Brighton, Mat Ryan terpedaya.

Sekali pun Chelsea menyenaraikan ramai pemain muda dalam perlawanan berkenaan, Lampard berkata mereka perlu mempelajari sikap yang ditonjolkan pemain senior seperti bintang Itali, Jorginho dan Brazil Willian.

PEMAIN Chelsea, Jorginho (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Brighton & Hove Albion pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto AFP

“Etika kerja yang hebat daripada Willian hari ini,” kata Lampard. “Mereka meletakkan standard dan pemain-pemain muda perlu mengikutinya.”

Chelsea menghasilkan 17 cubaan ke gawang pada babak pertama tetapi gagal menyempurnakan tekanan tinggi dan penguasaan bola yang hebat itu kepada jaringan.

Mount hampir menyumbat gol tetapi cubaannya terkena palang dengan Ryan turut melakukan dua aksi menyelamat hebat bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi menerusi cubaan Ross Barkley dan Pedro. 

“Perlawanan di laman sendiri mengecewakan kami pada musim ini,” kata Lampard. “Kamu hampir boleh merasai kehampaan itu pada separuh masa pertama. 

“Saya memberitahu mereka supaya jangan kecewa, jangan putus asa. Penting untuk menyatakannya,” kata Lampard dengan Chelsea turut tidak melepaskan gol buat pertama kali dalam perlawanan Liga Perdana musim ini.  Kami langsung tidak nampak seperti akan dibolosi hari ini dan ia satu tambahan yang besar.” - Reuters

PEMAIN Chelsea, Willian beraksi dalam perlawanan menentang Brighton & Hove Albion pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto EPA
PEMAIN Chelsea, Willian beraksi dalam perlawanan menentang Brighton & Hove Albion pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto EPA

Berita Harian X