Jumaat, 27 September 2019 | 5:00pm
Jurulatih JDT, Benjamin Mora. - Foto Hairul Anuar Rahim
Jurulatih JDT, Benjamin Mora. - Foto Hairul Anuar Rahim

JDT waspada sambut Penyu di Larkin

JOHOR BAHRU: Tiada istilah berada dalam keadaan selesa buat pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan melayani kunjungan Terengganu FC (TFC) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam esok.

Pengendalinya, Benjamin Mora berkata walaupun skuad Harimau Selatan melakar kemenangan 1-0 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddun Shah, Sabtu lalu itu, ia bukan jaminan juara Liga Super enam musim berturut-turut itu mampu melangkah dengan mudah ke separuh akhir.

Sebaliknya pengendali kelahiran Mexico itu mengakui perjalanan JDT ke separuh akhir masih berliku kerana masih ada 90 minit lagi perlawanan yang perlu diharungi sekali gus perlu berwaspada untuk mengelak harapan mereka berkecai.

"Kami tidak anggap kemenangan 1-0 ke atas TFC minggu lalu memberi jaminan slot ke separuh akhir. Sebaliknya ada baki 90 minit lagi yang harus diharungi dan dalam permainan bola sepak macam-macam boleh berlaku.

"Terus terang saya katakan, persembahan ketika menewaskan TFC tempohari cukup menggembirakan kerana kita tahu memang sukar untuk mencipta kemenangan apabila beraksi di Kuala Terengganu. Pemain jelas menunjukkan komitmen yang tinggi pada aksi suku akhir pertama itu.

"Kini kami sudah membuat persiapan rapi dan memperbaiki apa jua kelemahan di posisi bek, tengah dan serangan kerana kami mahu memburu kemenangan," katanya.

Pada aksi suku akhir pertama, kelibat pemain import termahal Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Diogo Luis Santo muncul wira skuad Harimau Selatan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan berkenaan.

Apapun, JDT harus berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Nafuzi Zain yang mampu melakar kejutan selepas skuad Penyu itu pernah merencatkan sambutan JDT menjulang piala liga selepas melakar keputusan seri 3-3 pada aksi terakhir saingan liga 19 Julai lalu di Larkin.

"Fokus dan sentiasa tenang ketika beraksi menjadi kunci utama setiap pemain yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama. Malah latihan menjelang pertembungan suku akhir kedua jelas tampak begitu positif," kata Mora.

Berita Harian X