Khamis, 26 September 2019 | 10:22am
PEMAIN PSG, Neymar diasak pemain Reims, Hassane Kamara pada aksi Ligue 1 di Parc des Princes. - Foto Reuters
PEMAIN PSG, Neymar diasak pemain Reims, Hassane Kamara pada aksi Ligue 1 di Parc des Princes. - Foto Reuters

Reims kejutkan PSG

PARIS: Kelab Paris Saint-Germain (PSG) dikejutkan oleh Reims, 2-0 pada aksi di Parc des Princes semalam, menerusi jaringan tandukan padu Hassane Kamara dan Boulaye Dia yang sekali gus memberikan kemenangan hebat kepada pasukan pelawat itu.

Juara Ligue 1 yang berdepan masalah kecederaan tetap kekal menerajui carta liga selepas tujuh perlawanan, namun sudah dua kali tewas musim ini termasuk kepada Rennes pada bulan lalu.

Ia adalah kekalahan pertama PSG di laman sendiri dalam saingan liga sejak tewas 2-0 kepada Rennes pada Mei 2018, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan di Parc.

PSG ketika ini hanya mendahului penghuni tangga kedua liga, Angers menerusi perbezaan gol selepas dua gol lewat babak permainan Rachid Alioui membolehkan anak buah Stephane Moulin mencatatkan kemenangan 2-0 di Toulouse.

PEMAIN Reims, Boulaye Dia (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang PSG pada aksi Ligue 1 di Parc des Princes. - Foto AFP
PEMAIN Reims, Boulaye Dia (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang PSG pada aksi Ligue 1 di Parc des Princes. - Foto AFP

“Saya kecewa dengan persembahan kami. Pada permainan sehingga minit ke-10, mungkin 15 semuanya berjalan baik tetapi setiap minit selepas itu bertambah buruk,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.

“Kami tidak menunjukkan apa yang kami mampu lakukan. Jadi kami wajar tewas.”

Neymar yang menjaringkan gol pada minit akhir dalam dua aksi Ligue 1 sebelum ini, disenaraikan bersama Eric Maxim Choupo-Moting dan Pablo Sarabia di barisan depan manakala Edinson Cavani, Kylian Mbappe dan Mauro Icardi masih tersisih akibat cedera.

- AFP

Berita Harian X