Jumaat, 20 September 2019 | 7:36pm
DOLLAH Salleh (kanan) dan Zainal Abidin Hassan.
DOLLAH Salleh (kanan) dan Zainal Abidin Hassan.

Pertembungan Dollah, Zainal jadi tumpuan

KUANTAN: Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan yang pernah bergandingan mengendali Pahang muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2013 kini bakal bertembung sebagai seteru pada aksi suku akhir musim ini.

Dua bekas pemain kebangsaan itu masing-masing membimbing Pahang dan Melaka United dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan pertembungan pada Ahad ini bakal menilai kemampuan taktikal kedua-dua pengendali itu.

Dollah yang juga bekas pengendali Harimau Malaya tidak rela misi menjulang kejuaraan bersama skuad Tok Gajah musim ini disekat Melaka United kendalian bekas rakan sepasukan kebangsaannya itu.

"Apa sekalipun, dalam bola sepak setiap jurulatih mahukan kemenangan dan begitu juga saya yang mengharapkan Pahang menang apabila berdepan Melaka United,” kata Dollah.

"Begitu juga Zainal Abidin kerana kami dalam bola sepak bukan baru dan menjadi lumrah apabila bersaing untuk meraih kejayaan."

Musim ini, pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super menyaksikan skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 4-1 dan seri 1-1.

Namun, kali ini ia pentas yang berbeza selepas kebangkitan yang dilakukan skuad kendalian Zainal Abidin untuk mengetepikan FELDA United FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.

Pada perlawanan suku akhir pertama Ahad ini, Dollah dijangka menyenaraikan kesebelasan terbaik termasuk penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme.

Pahang turut menagih sentuhan pemain pertahanan, Herold Goulon yang sudah menjaringkan 11 gol musim ini termasuk jaringan ketika menewaskan Pulau Pinang 2-0, Rabu lalu.

Berita Harian X