Jumaat, 20 September 2019 | 12:46pm
KETUA Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mahamad Zain. NSTP/Rozainah Zakaria
KETUA Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mahamad Zain. NSTP/Rozainah Zakaria

Jangan rebah di padang kita - Nafuzi

KUALA TERENGGANU: "Ini padang kita, bermainlah bermati-matian demi lencana Terengganu di dada," itulah pesanan pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain kepada anak buahnya menjelang pertemuan getir dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu turut menuntut anak buahnya agar ‘cepat panas' dengan terus mengasak kubu Harimau Selatan bermula wisel pertama bagi memburu jaringan awal sekali gus memberi tekanan kepada pasukan lawan.

"Pertemuan di tempat sendiri begitu penting buat kami untuk catat kemenangan, saya harap pemain cepat panas, fokus pada setiap minit, menguasai bola, usah bagi pihak lawan selesa untuk bermain dengan bola dan tidak melakukan kesilapan yang mungkin membawa padah.

"Saya juga tuntut pemain beraksi mengikut strategi yang dirancang serta terus berusaha untuk catat keputusan selesa di tempat sendiri dan jangan sesekali mengalah, manakala selebihnya kita serahkan kepada takdir.

"Ini kerana saya akui setiap perlawanan ada tekanan sebab kita nak menang, lagipun kita tahu reputasi skuad JDT adalah pasukan terbaik negara dengan menjuarai Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut selain pernah beraksi dengan kelab gergasi di Asia.

"Bagi saya rekod sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kita, sebaliknya ia adalah sejarah, tapi pemain boleh jadikan sebagai motivasi buat diri mereka sebelum turun menentang skuad itu," ujar Nafuzi ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Musim lalu TFC menang dengan agregat 3-2 menundukkan JDT pada aksi separuh akhir hasil kemenangan 1-0 di Kuala Terengganu dan seri 2-2 di Larkin sebelum mara ke final Piala Malaysia, musim ini dalam saingan liga, rekod kedua-dua pasukan itu adalah seimbang dengan keputusan seri 2-2 pada aksi pusingan pertama di Kuala Terengganu dan 3-3 pada perlawanan kedua di Larkin.

"Tapi pemain harus berwaspada, skuad lawan musim ini adalah sedikit berbeza dengan pemain mereka lebih berkualiti berbanding musim lalu, namun kami tetap ada ramuan untuk lakar kemenangan selain  kelebihan kami beraksi sebagai satu pasukan dan bukannya individu, ini yang menambah lagi kekuatan pasukan.

"Misi kita tidak mahu bolos di tempat sendiri, sebaliknya pemain perlu mencari seberapa banyak jaringan sebagai bekalan sebelum aksi kedua pada 28 September ini di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin.

"Buat peminat setia TFC, mereka harus memberi sokongan pada setiap minit bagi membangkitkan lagi semangat pemain untuk melakar kemenangan," katanya yang tidak bimbang berdepan skuad itu biarpun tanpa dua tonggak, Syamim Yahya dan Thierry Chantha Bin yang masih dibelenggu kecederaan.

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memaklumkan sebanyak 8,000 keping tiket akan mula dijual pada jam 10.30 pagi Sabtu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan harga RM15 bagi tempat duduk biasa, berbumbung RM25 dan kanak-kanak RM5 manakala tiket secara dalam talian melalui aplikasi stubapp sebanyak 2,000 keping sudah dibuka.

Berita Harian X