Isnin, 16 September 2019 | 12:53pm
PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard. - Foto Reuters
PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard. - Foto Reuters

Valencia ujian sebenar pemain muda Chelsea

LONDON: Ia petanda hari perubahan di Stamford Bridge dengan Chelsea akan ke Liga Juara-Juara berdepan Valencia awal pagi Rabu ini dengan kestabilan dan perancangan jangka panjang.

Juara Liga Europa itu kembali ke bola sepak tertinggi Eropah di bawah pengurusan baharu Frank Lampard yang mengetengahkan era pemain muda diberi peluang menyinar berbanding hanya bergantung kepada poket tebal pemilik dari Russia, Roman Abramovich.

Sudah ada beberapa halangan awal buat Lampard, hero yang kembali buat penyokong selepas menjaringkan rekod kelab dengan 211 gol dan menang 13 trofi termasuk mahkota tunggal Chelsea dalam Liga Juara-Juara selaku pemain.

Kekalahan 4-0 pada hari pembukaan kepada Manchester United dan memusnahkan kelebihan 2-0 untuk seri 2-2 berdepan Sheffield United mendedahkan risiko bergantung kepada pemain utama tidak berpengalaman.

Namun keyakinan Lampard terhadap pemain muda sudah mula dibalas.

Dimulakan hatrik Tammy Abraham, Chelsea membelasah Wolves 5-2 kelmarin untuk setaraf dengan United, Tottenham, Arsenal dan Leicester dalam pemburuan awal ke Liga Juara-Juara musim depan.

Fikayo Tomori juga meledak gol pertama buat kelab itu di Molineux, manakala Mason Mount meneruskan prestasi baiknya yang memberikannya panggilan untuk England dengan jaringan ketiga dalam lima perlawanan.

Semua 11 gol liga Chelsea setakat musim ini datang daripada trio berkenaan, semuanya bermula dari akademi kelab tetapi dipinjamkan keluar di bawah pengurus sebelum ini.

“Mereka sepatutnya memberi inspirasi dan merasakan ada peluang di sana jika mereka berhak, dan mereka sepatutnya melihat rakan sepasukan beraksi dengan baik dan mahu ke sana,” kata Lampard.

“Mereka berada di sana kerana mereka berhak. Adalah penting kita juga menghormati pemain berpengalaman yang memainkan peranan besar.

“Jika kami mahu berjaya musim ini, kami tidak boleh hanya berharap kepada pemain muda, walupun ketika ini mereka melakukan tugas yang bagus!” - AFP

Berita Harian X