Sabtu, 14 September 2019 | 12:13am
Dari kiri: Teemu Pukki dan penyerang sensasi The Reds, Sadio Mane dan Mohamed Salah.
Dari kiri: Teemu Pukki dan penyerang sensasi The Reds, Sadio Mane dan Mohamed Salah.

Tumpuan ke atas Salah, Mane, Pukki

KOLUM APA KATA EPL

Selepas hampir dua minggu disajikan dengan aksi hebat oleh skuad Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2013 serta beberapa aksi kelayakan Euro 2020, kita bertemu kembali pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sebelum kita melihat aksi minggu ini, suka saya mengimbas kedudukan minggu lalu terutama membabitkan kelab ‘Big 6’. Jelas Liverpool terlalu unggul bagi empat aksi pertama, apabila memenangi semuanya untuk menghimpun 12 mata maksimum, sekali gus gah menerajui persada liga. Ia juga muncul satu-satunya pasukan tak pernah kalah atau seri.

Penyandang juara, Manchester City pula di tangga kedua dengan himpunan 10 mata, hasil kejayaan menang tiga kali dan satu seri manakala juara Liga Europa, Chelsea berada di tempat ke-11 dengan himpunan lima mata. Finalis Liga Juara-Juara, Tottenham Hostpur pula di tangga kesembilan, juga dengan lima mata.

Ia menyamai mata diperoleh Manchester United yang setakuk di atas manakala Arsenal pula berada di posisi kelima dengan himpunan tujuh mata. Sementara itu, Leicester City dan Crystal Palace masing-masing membuat kejutan apabila menduduki tempat ketiga dan keempat dengan mengumpul lapan serta tujuh mata.

Melihat kepada jadual perlawanan minggu ini, saya berasakan kedudukan carta liga bagi minggu kelima tidak akan menyaksikan perubahan besar. Liverpool harus tiada masalah untuk merakamkan kemenangan kelima berturut-turut apabila menerima kunjungan pasukan bergelut yang kini menghuni tangga ke-14, Newcastle United.

Selepas empat aksi pasukan bimbingan Steve Bruce ini tewas dua kali selain masing-masing seri dan menang sekali. Aksi terakhir bertemu pasukan kedua tercorot liga, Norwich City, ia tewas 1-3.

Mungkin tumpuan aksi ini adalah membabitkan ‘sengketa’ penyerang sensasi The Reds, Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Pada aksi terakhir ketika membenam Burnley, 3-0 pada 1 September lalu, Mane mencuri tumpuan apabila mengamuk secara tiba-tiba selepas dikeluarkan di pertengahan aksi. Laporan selepas itu mendedahkan dia dikatakan geram dengan Salah yang tidak mengumpannya untuk menjaringkan gol.

Adakah Salah dan Mane akan tetap digandingkan bagi aksi bertemu Newcastle ini bersama dengan Firmino? Ini kerana selepas insiden Mane berang itu, Jurgen Klopp dalam kenyataan bagi memperjelaskan isu berkenaan, tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas penyerang Mesir itu.

Dalam pada itu, City pula berkunjung ke Stadium Carrow Road bertemu Norwich. Seperti juga Liverpool, pasukan bimbingan Pep Guardiola ini seharusnya juga tiada masalah untuk mengutip mata penuh.

Cuma skuad The Citizens harus mengambil peduli dengan kelibat penyerang sensasi The Cannaries, Teemu Eino Antero Pukki atau Teemu Pukki. Setakat ini penyerang berusia 29 tahun itu sudah menjaringkan tujuh gol daripada enam aksi untuk kelabnya dan Finland musim ini termasuk ketika tewas 1-2 kepada Itali minggu lalu.

Pukki sebelum ini mencatatkan hatrik ketika membantu pasukannya menjinakkan Newcastle, 3-1 selain turut menjaringkan gol ketika bertemu Liverpool dan Chelsea sebelum ini. Dia turut meledak gol ketika bertemu Greece sebelumnya. Hanya West Ham yang gagal ditembusinya.

Namun prestasi cemerlangnya itu berjaya menarik perhatian Persatuan Pemain Profesional (PFA) EPL untuk menganugerahkannya pemain terbaik bagi bulan Ogos lalu. Adakah ia akan meledak lagi di laman sendiri tengah malam ini waktu Malaysia?

Sementara itu, Chelsea bertandang ke Stadium Molineux bertemu dengan pasukan yang mengikat United 1-1 sebelum ini iaitu Wolves. Arsenal pula ke Stadium Vicarage Road untuk berdepan Watford manakala United melayan kunjungan Leicester City. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini

Liverpool 6 Newcastle 0

Manchester United 2 Leicester 1

Sheffield 1 Southampton 1

Brighton 1 Burnley 2

Wolves 1 Chelsea 1

Tottenham 2 Crystal Palace 2

Norwich 1 Manchester City 4

Bournemouth 1 Everton 1

Watford 0 Arsenal 3

Aston Villa 1 West Ham 1

Berita Harian X