Sabtu, 17 Ogos 2019 | 1:18pm
FRANK Lampard. - Foto AFP
FRANK Lampard. - Foto AFP

Lampard harap tuah Stamford Bridge

LONDON: Frank Lampard mengakui perlawanan pertamanya sebagai pengendali Chelsea di Stamford Bridge bakal menjadi saat membanggakan, tetapi hanya sekiranya kemenangan diraih ke atas Leicester City esok.

Selepas kekalahan berturut-turut pada dua aksi pertamanya, legenda Chelsea itu terdesak untuk memburu tiga mata pertama di laman sendiri.

Pengendali berusia 41 tahun itu, yang kini memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Chelsea, dijangka akan mendapat sambutan wira di Stamford Bridge walaupun mengharungi permulaan mengecewakan musim ini.

Kekalahan 4-0 di tangan Manchester United pada perlawanan pertama Liga Perdana disusuli dengan tewas penentuan penalti kepada Liverpool dalam aksi Piala Super Eropah di Istanbul.

Kedua-dua perlawanan mempunyai aspek positif yang boleh diambil Lampard, bagaimanapun dia perlu mengelak daripada kekalahan ketiga berturut-turut apabila Leicester bertandang ke London.

 

“Saya bangga dapat mengendali kelab ini. Saya pernah kembali beberapa kali dan mendapat sokongan padu,” kata Lampard.

“Ia akan menjadi hari yang penuh emosi dan istimewa buat saya tetapi perkara paling penting ialah mendapatkan tiga mata, dan itu yang paling saya risaukan.”

Lampard hanya mengutip semusim pengalaman sebagai pengendali di kelab divisyen dua Derby, tetapi hubungan eratnya dengan Chelsea mendorong pemilik kelab Roman Abramovich mendapatkan khidmatnya.

Lampard masih bergelut menyesuaikan diri dengan tugasnya dan berdepan Leicester, yang seri tanpa jaringan menentang Wolves minggu lalu, akan menguji kemampuannya meraih kemenangan untuk Chelsea.

“Ia perlawanan yang besar untuk kami di hadapan penyokong sendiri buat pertama kali musim ini,” katanya. – AFP

 

 

Berita Harian X