Rabu, 31 Julai 2019 | 9:25am
Pemain Kedah, Fadzrul Danel Mohd Nizam (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan akhir Piala FA menentang Perak, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Pemain Kedah, Fadzrul Danel Mohd Nizam (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan akhir Piala FA menentang Perak, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kim Swee bagi peluang kedua buat Danel, Fayadh

KUALA LUMPUR: Penampilan sebagai pemain gantian pada pentas final Piala FA, Sabtu lalu boleh dianggap sebagai ‘talian hayat’ terbaik buat dua pemain muda Kedah, Fadzrul Danel Mohd Nizam dan Fayadh Zulkifli untuk kembali dipanggil menyertai skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Kedua-dua pemain itu dimasukkan ketika perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menuju ke penghujung dengan Fayadh dimasukkan pada minit ke-86 manakala Danel pada masa tambahan (minit-104).

Namun, kedua-dua pemain muda berusia 21 tahun itu dilihat berjaya memberikan persembahan cukup membanggakan walaupun kali pertama beraksi di pentas final dengan kehadiran lebih 83,000 penyokong.

Fayadh mendapat pujian berdasarkan kelincahan memperdaya pemain lawan, tetapi Danel mencipta sejarah lebih manis apabila muncul wira Kedah selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-105 membolehkan Helang Merah menjulang Piala FA buat kali kelima.

Pengendali skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee ketika dihubungi BH Sukan menjelaskan beliau sentiasa membuka pintu buat semua pemain untuk diserap ke dalam skuad yang bakal bersaing di Sukan SEA Filipina 2019, hujung tahun ini.

“Tidak kira sama ada pemain yang sudah lama berada dalam skuad atau yang baharu, mereka harus berada pada prestasi terbaik jika tidak ingin diketepikan.

“Tapi, secara keseluruhannya, ia memberi banyak kelebihan kepada saya kerana pemain boleh memberi saingan yang sihat bagi merebut tempat dalam senarai akhir,” katanya.

Fayadh dan Danel pernah tersenarai dalam senarai akhir skuad Kim Swee bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa B-21, Piala Newspaper 2018 di Hue City, Vietnam pada Disember tahun lalu.

Danel bagaimanapun mencetuskan sedikit kontroversi selepas dia gagal melaporkan diri bersama skuad itu selepas namanya disenaraikan Kim Swee untuk bersaing di Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-22 pada Februari lalu.

Berita Harian X