Selasa, 30 Julai 2019 | 10:13am
Polis Brazil yang menyiasat tuduhan rogol membabitkan pemain sensasi, Neymar menutup kes berkenaan berikutan kekurangan bukti. - Foto AFP
Polis Brazil yang menyiasat tuduhan rogol membabitkan pemain sensasi, Neymar menutup kes berkenaan berikutan kekurangan bukti. - Foto AFP

Polis lepas Neymar tuduhan rogol

SAO PAULO, Brazil: Polis Brazil yang menyiasat tuduhan rogol membabitkan pemain sensasi, Neymar menutup kes berkenaan berikutan kekurangan bukti, kata Pejabat Peguam Negara di Sao Paulo, semalam.

Keputusan polis akan dibawa ke pihak pendakwaraya, hari ini, yang kemudian diperuntukkan selama 15 hari untuk menilai kembali kes berkenaan, kata jurucakap Pejabat Peguam Negara kepada AFP.

Keputusan terakhir mengenai kes berkenaan akan diputuskan oleh hakim.

Jurucakap kepada Neymar berkata dia tidak boleh memberi sebarang komen terhadap keputusan polis dengan polis Sao Paulo dijadual memberikan sidang media, hari ini.

Neymar, yang juga penyerang sensasi kelab Paris Saint-Germain menafikan sekeras-kerasnya tuduhan rogol berkenaan membabitkan seorang wanita Brazil di ibu negara Perancis, Paris pada Mei lalu.

Tuduhan berkenaan, yang mendominasi dada akhbar negara berkenaan selama beberapa minggu mengganggu persiapan Brazil untuk mengharungi Copa America.

Brazil, yang juga tuan rumah kejohanan elit benua Amerika Selatan itu menjulang trofi kejuaraan awal bulan ini tanpa pemain terbaik mereka itu yang mengalami kecederaan ketika sesi memanas badan pada perlawanan persahabatan terakhir. - AFP

Berita Harian X