Isnin, 22 Julai 2019 | 6:26pm
Datuk Zainol Fadzi Paharudin sudah menghantar surat peletakan jawatannya berkuatkuasa hari ini. - Arkib NSTP
Datuk Zainol Fadzi Paharudin sudah menghantar surat peletakan jawatannya berkuatkuasa hari ini. - Arkib NSTP

Presiden PKNP FC letak jawatan

IPOH: Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sudah menghantar surat peletakan jawatannya berkuatkuasa hari ini selepas pasukan itu tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

PKNP FC yang menghuni tangga ke-11 dengan 16 mata tersingkir bersama Kuala Lumpur yang menghuni tangga terakhir dengan 14 mata.

Surat peletakan jawatan Zainol itu diserahkan kepada Setiausaha Kehormat PKNP FC, Abdul Manan Yang Kamardin, hari ini.

Zainol dalam surat berkenaan memaklumkan, beliau berterima kasih di atas kepercayaan diberikan sepanjang menjawat jawatan sebagai presiden pasukan itu.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kepercayaan diberikan pihak PKNP FC sepanjang tempoh saya menjalankan amanah sebagai presiden.

"Harapan saya semoga PKNP FC terus maju jaya dan cemerlang," katanya dalam surat berkenaan.

Sementara itu, Abdul Manan ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Zainol itu namun status jawatan itu masih belum diputuskan.

"Memang sudah menerima surat itu namun saya kena berbincang dahulu dengan EXCO mengenai keputusan itu, InsyaAllah malam ini baru kita akan berbincang mengenai keputusan itu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Zainol ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama Kelab PKNP FC memaklumkan akan meletakkan jawatan sekiranya PKNP FC jatuh ke Liga Perdana musim depan.

Berita Harian X