Rabu, 17 Julai 2019 | 7:26pm

Giliran TFC mahu 'baham' JDT

KUALA TERENGGANU: Selepas PJ City, Terengganu FC (TFC) mahu menjadi pasukan kedua melakar kejutan menewaskan juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi terakhir liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Jumaat ini. 

Biarpun sedar tugas untuk mengaibkan skuad Harimau Selatan itu di gelanggang keramat mereka bukan mudah, tetapi dengan prestasi semasa TFC yang tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir, skuad Penyu tampak sudah bersedia untuk merakam kemenangan pada perlawanan itu.

Tambah meyakinkan skuad kendalian penolong jurulatih, Mohamad Nik itu apabila rekod pertemuan dua pasukan itu musim ini berakhir dengan keputusan seri 2-2 pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Februari lalu.

Selain itu, pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia musim lalu di Larkin, TFC berjaya mengikat JDT 2-2 dan mara ke final selepas menang dengan agregat 3-2.

Semalam, JDT dipalit kejutan apabila tewas 0-1 kepada pendatang baru Liga Super musim ini, Petaling Jaya City FC (PJ City) di depan penyokong mereka sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga musim ini.

Pertahanan kanan TFC yang juga bekas pemain Harimau Muda, Muhamad Hafizal Mohamad, berkata pasukannya ketika ini dilihat berada pada prestasi terbaik untuk melakar kejutan ke atas pasukan itu.

"Bukan tugas mudah buat kami untuk menumpaskan juara liga tetapi jika rakan sepasukan beraksi dengan baik sebagaimana empat perlawanan terakhir, kami mampu melakar kejutan seperti mana musim lalu ketika saingan separuh akhir Piala Malaysia.

"Selain itu, kemenangan ini juga penting buat kami untuk mengintai kedudukan yang lebih baik dalam liga selain mahu merakam kemenangan pada aksi terakhir liga walaupun bermain di tempat lawan," kata anak pengusaha tembaga itu yang mengakui teruja selepas mendapat peluang dan kepercayaan daripada barisan jurulatih TFC beraksi dalam pasukan itu.

Sebagai rekod, Hafizal baru dinaikkan 'pangkat' daripada pasukan Terengganu FC II (TFC II) sejak tiga perlawanan lalu.

Berita Harian X