X
Jumaat, 28 Jun 2019 | 7:22pm
Brad Maloney dilantik pengendali sementara B-19 negara. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Brad Maloney dilantik pengendali sementara B-19 negara. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Maloney dilantik pengendali sementara B-19 negara

 

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, penolong ketua jurulatih bawah 23 tahun (B-23), Brad Maloney dilantik selaku pengendali sementara baharu B-19 dan akan memulakan tugas 1 Julai ini hingga akhir tahun.

Ujian sulungnya adalah mengetuai pasukan ke Kejuaraan B-18 AFF di Vietnam 5 hingga 18 Ogos ini diikuti kempen kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Kemboja, 2 hingga 10 November.

Dalam masa sama, Maloney akan terus kekal selaku penolong jurulatih B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas mengambil kira sumbangannya ketika membawa pasukan itu ke pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2018 dan Kejuaraan B-23 AFC 2018 serta meraih pingat perak Sukan SEA 2017.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter de Roo berkata, pengalaman Maloney dalam arena bola sepak Malaysia jadi 'azimat' buatnya dipilih menerajui skuad B-19.

"Brad sudah bersama kami sejak 2014 dan dia sudah biasa dengan cara bola sepak di Malaysia sekali gus menjadikannya calon ideal untuk memimpin skuad B-19. 

“Kami ingin menggalakkan hubungan kerja yang rapat dan harmoni antara ketua jurulatih dalam semua kategori umur dan saya yakin pelantikan Brad juga akan memperkuatkan lagi kami dalam hal ini," katanya.

Sebagai rekod, skuad sama ketika dibawah kendalian Bojan Hodak sebelum ini muncul juara Kejuaraan B-19 AFF 2018 dan layak ke Kejuaraan B-19 AFC 2018.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalinggam berkata selepas meraih keputusan baik bersama B-23, ia membuktikan Maloney memiliki karakter baik untuk memimpin B-19.

"Dia sudah membuktikan dirinya sebagai penolong ketua jurulatih yang berwibawa dan kini tiba masanya untuk dia memimpin pasukan B-19 kebangsaan. Dia tidak sabar untuk memulakan tugasnya dan ia adalah tanda positif,” katanya.

Berita Harian X