Rabu, 26 Jun 2019 | 12:01am
Frank Lampard menghampiri kepulangan semula ke Chelsea sebagai pengurus baharu. - Foto fail Reuters
Frank Lampard menghampiri kepulangan semula ke Chelsea sebagai pengurus baharu. - Foto fail Reuters

Derby 'lepaskan' Lampard

LONDON: Frank Lampard menghampiri kepulangan semula ke Chelsea sebagai pengurus baharu selepas Derby memberikan kebenaran untuk kelab Liga Perdana itu melengkapkan rundingan.

"Kelab Bolasepak Derby County boleh mengesahkan mereka sudah memberikan kebenaran kepada Kelab Bolasepak Chelsea untuk berbincang dengan Frank Lampard berhubung posisi pengurusan di Stamford Bridge," kata Derby dalam satu kenyataan.

"Dengan kempen pra-musim sedang menghampiri, kedua-dua kelab berharap perkara ini akan membenarkan Chelsea untuk melengkapkan perbincangan mereka.”

Lampard yang juga penjaring gol terbanyak Chelsea dengan 211 gol menjadi pilihan utama kelab itu bagi menggantikan Maurizio Sarri yang menyertai Juventus minggu lalu.

Pemain tengah England itu yang bermain di antara tahun 2001 hingga 2014 di Stamford Bridge memenangi 13 gelaran utama bersama The Blues termasuk tiga gelaran Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Liga Europa.

Begitupun, pengalaman di pentas pengurus jelas cetek selepas hanya semusim mengendalikan kelab Liga Kejuaraan, Derby tetapi berjaya membimbing pasukannya untuk beraksi di Liga Perdana tetapi terkandas di final play-off. - AFP

Berita Harian X