Sabtu, 22 Jun 2019 | 10:00am
Mohammad Fayadh Zulkifli Amin (tengah) ketika menjalani sesi latihan di Stadium Darul Aman menjelang Piala FA separuh akhir satu pada Sabtu ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Mohammad Fayadh Zulkifli Amin (tengah) ketika menjalani sesi latihan di Stadium Darul Aman menjelang Piala FA separuh akhir satu pada Sabtu ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

'Ubi muda' Kedah bernilai RM5 juta

 

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan melanjutkan kontrak dua pemain mudanya iaitu Mohammad Fayadh Zulkifli Amin dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam selain meletakkan harga tebus nilai sebanyak RM5 juta setiap seorang. 

Pengumuman berkenaan dibuat Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris menerusi laman rasmi KFA semalam yang memaklumkan kedua-dua 'ubi muda' berkenaan akan dilanjutkan tempoh kontrak dari tiga ke lima tahun. 

"Lanjutan kontrak kedua- dua pemain yang kini berusia 21 tahun itu juga akan turut disertakan dengan harga tebus nilai sebanyak RM5 juta bagi kedua-dua pemain selaras potensi dan juga bakat mereka miliki.

"KFA akan memuktamadkan perjanjian serta lanjutan kontrak ini selepas aksi separuh akhir pertama Piala FA Kedah menentang FELDA United di Stadium Darulaman malam ini.

"Langkah ini sejajar dengan misi dan visi persatuan yang komited menjaga kebajikan serta bakat setiap pemain bernaung di bawah persatuan dan juga memastikan situasi menang-menang antara persatuan dan pemain jika pemain mendapat tawaran beraksi di peringkat lebih tinggi kelak,” katanya.

Sebelum ini Fadzrul Danel yang pertama kali bersama skuad Lang Merah memaklumkan, dia bersedia menyahut cabaran jurulatih yang mahukannya meningkatkan mutu permainan serta berusaha memajukan tahap permainannya.

Fazrul Danel berkata, dia mendapat nasihat serta tunjuk ajar penting daripada pemain-pemain senior pasukan seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Helmi. 

Fayadh yang melakukakan penampilan pertama selama 11 minit dalam aksi Liga Super Februari lalu ketika menentang FELDA United pula menegaskan dia mahu cepat serasi dan bersaing bersama rakan sepasukannya ke tahap lebih tinggi. 

Berita Harian X