Ahad, 16 Jun 2019 | 11:02pm
Maurizio Sarri. - Foto Reuters
Maurizio Sarri. - Foto Reuters

Sarri pengendali baharu Juventus

MILAN: Juara Serie A Juventus melantik Maurizio Sarri sebagai pengendali baharu mereka, dengan harapan falsafah permainannya mampu meneruskan dominasi mereka dalam bola sepak Itali serta menjelmakan kilauan kejuaraan Eropah.

Juventus dilaporkan bersetuju memenuhi bayaran pampasan melebihi 5 juta pound (RMRM26.2 juta) kepada Chelsea untuk mendapatkan Sarru, yang menyertai gergasi Itali dengan kontrak tiga tahun.

Sarri hanya semusim di Stamford Bridge, di mana dia memenangi Liga Europa – trofi major pertama dalam kariernya – dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat ketiga.

Di atas kertas ia kelihatan seperti pencapaian yang membanggakan, tetapi hakikatnya ia adalah cabaran sukar buat bekas pengendali Napoli itu untuk menerapkan falsafah “Sarri-ball” di Stamford Bridge.

“Dalam perbincangan selepas final Liga Europa, Maurizio menjelaskan dia ingin kembali ke negara asalnya, dengan alasannya untuk kembali bekerja di Itali tidak penting,” kata pengarah Chelsea Marina Granovskaia.

“Dia juga percaya ia penting untuk berada lebih dekat dengan keluarganya, dan tahap kesihatan orang tuanya membuatkan dia mahu berada lebih dekat dengan mereka buat masa ini.”

Pengendali 60 tahun itu menggantikan Massimiliano Allegri yang memenangi gelaran Serie A berturut-turut dalam lima musim – melebarkan kejuaraan Juve kepada lapan musim berturut-turut – termasuk empat kali menjuarai Piala Itali. Dia turut membawa mereka ke dua final Liga Juara-Juara. – REUTERS

 

Berita Harian X