Jumaat, 14 Jun 2019 | 7:23am
Juventus bersedia melantik Maurizio Sarri sebagai jurulatih baharu kelab itu, hari ini. - Foto Reuters
Juventus bersedia melantik Maurizio Sarri sebagai jurulatih baharu kelab itu, hari ini. - Foto Reuters

Juve dijangka namakan Sarri pengurus hari ini

ROME: Juventus bersedia melantik Maurizio Sarri sebagai jurulatih baharu kelab itu, hari ini selepas bersetuju dengan perjanjian pampasan dengan Chelsea, lapor media Itali, semalam.

Sky Sport Italia melaporkan perjanjian berkenaan bernilai 3.5 juta euro (RM16.45 juta) dengan dana akan digunakan bagi kelab Liga Perdana itu membawa masuk bekas pemain, Frank Lampard ke Stamford Bridge dari kelab Liga Kejuaraan, Derby County.

Sarri dijangka akan menandatangani perjanjian selama tiga tahun bersama juara Itali itu, menurut laporan berkenaan.

Sarri, dari Itali tampak tidak selesa dengan layanan peminat di Stamford Bridge dan sekali pun memenangi Liga Europa serta menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga, taktik jurulatih itu sukar untuk diterima.

Beliau paling kuat dikaitkan dengan Juventus selepas peletakan jawatan Massimiliano Allegri.

Sarri sebelum ini menggantikan Antonio Conte sebagai pengurus Chelsea musim panas lalu selepas menghabiskan tempoh tiga tahun di Napoli.

Pengendali berusia 60 tahun itu menikmati permulaan cukup baik di Stamford Bridge apabila Chelsea mengharungi 18 perlawanan tanpa kalah sebelum dikritik hebat peminat susulan prestasi terumbang ambing termasuk ketika tewas besar 6-0 kepada Manchester City.

Sarri menjulang trofi utama dalam kariernya sebagai pengurus apabila Chelsea menewaskan Arsenal 4-1 di final Liga Europa, bulan lalu. - AFP

Berita Harian X