Ahad, 9 Jun 2019 | 7:37pm
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris. - NSTP/Amran Hamid
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris. - NSTP/Amran Hamid

Kedah perkuat barisan tengah

ALOR SETAR: Kemasukan dua pemain baharu pada jendela perpindahan baru-baru ini diyakini mampu membantu Kedah menguatkan jentera tengah pasukan untuk aksi Liga Super serta saingan Piala FA yang akan ditempuhi skuad Lang Merah. 

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris, dia yakin dengan perubahan yang akan dilalui Kedah selepas  kemasukan pemain import baharu Edgar Bernhardt dan seorang lagi pemain tempatan David Rowley ke dalam pasukan baru-baru ini. 

"Bersama pasukan Kedah Edgar dan juga David Rowley bakal membantu rakan sepasukan lain terutama bahagian tengah untuk melancarkan lagi serangan dan juga penguasaan bola,” kata Asmirul.

"Reputasi Edgar yang pernah menggalas tugas selaku ketua pasukan Kyrgyzstan sebelum ini bakal membantu untuk menguatkan jentera tengah pasukan Kedah seterusnya.

"Saya yakin dengan perancangan pihak pengurusan dan kejurulatihan ini, kita mampu memberi saingan yang diharapkan dan seterusnya layak ke final Piala FA musim ini.”

Asmirul juga mengharapkan prestasi lebih baik berbanding kekalahan 2-0 ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) bulan lalu.

 

"Ini kerana kita dapati ada jurang daripada segi teknikal pada perlawanan berkenaan, namun kita boleh terima atas sebab di atas kertas kita tidak dapat menurunkan kapten Baddrol Bakhtiar dan seorang lagi import Anmar Almubaraki yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan.

"Saya juga mengharapkan dengan latihan yang disediakan oleh jurulatih kecergasan Azmi Ibrahim dan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak, mampu memberi kesan yang diharapkan dalam mengharungi tempoh lima perlawanan hingga hujung bulan ini," katanya. 

Berita Harian X