Selasa, 4 Jun 2019 | 9:18am
Pemain Chelsea, Jorginho.
Pemain Chelsea, Jorginho.

Jangan jadi pengkhianat Sarri - Jorginho

LONDON: Jorginho berkata pasti ‘menyedihkan’ jika Maurizio Sarri meninggalkan Chelsea selepas hanya semusim dan memberi amaran peminat Napoli akan berasa ‘dikhianati’ jika perpindahannya ke Juventus dimuktamadkan.

Sarri membimbing Chelsea menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga dan menundukkan Arsenal 4-1 untuk menjulang trofi Liga Europa pada musim ini.

Skuad kendaliannya turut mara ke final Piala Liga tetapi tewas kepada Manchester City menerusi penalti dengan peminat kelab itu sentiasa menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan corak taktikal mengendali dari Itali itu.

Jorginho mengikuti Sarri ke Stamford Bridge dari Napoli tahun lalu tetapi pemain tengah itu mungkin terpaksa melihatnya pulang ke Itali selepas hanya semusim dengan Juventus dikatakan bersedia untuk menjadikannya pengganti Massimiliano Allegri di Turin.

“Pasti menyedihkan kerana saya fikir beliau (Sarri) melakukan tugas yang baik,” kata Jorginho yang berharap Sarri kekal di London. “Kami menamatkan Liga Perdana di tangga ketiga, kami menang Liga Europa dan kami mara ke final Piala Liga sekali pun dikritik hebat.

“Ia adalah musim pertama yang bagus di Chelsea. Pasti menyedihkan untuk semua orang. Selain itu, peminat Napoli juga masih mengaguminya, jadi adalah normal jika mereka marah. 

“Mereka mungkin menganggapnya sebagai pengkhianatan, mereka akan berasa seperti itu. Kita semua akan lihat apa yang akan berlaku.” - AGENSI

Berita Harian X