Khamis, 30 Mei 2019 | 5:27pm
Pengendali pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak. NSTP/Rasul Azli Samad
Pengendali pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak. NSTP/Rasul Azli Samad

Pengendali Kedah terperanjat Persija minat khidmatnya

ALOR SETAR: Pengendali pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui terperanjat apabila

kelab bolasepak terkenal Liga Indonesia, Persija Jakarta dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Ketua jurulatih berusia 41 itu yang juga bekas jurulatih kelab Singapura, Home United berkata beliau dimaklumkan oleh ejenya berkaitan minat yang ditunjukkan oleh kelab berpangkalan di Stadium Gelora Bung Karno itu.

"Saya dimaklumkan ejen mengenai tawaran daripada pihak Persija Jakarta itu. Namun saya menganggap perkara itu sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana kelab yang merancang untuk mendapatkan jurulatih terbaik untuk pasukan.

"Malah saya juga mendapati ada beberapa paparan dalam media sosial yang mahu pengurusan Persija Jakarta mendapatkan khidmat saya selepas rekod kejayaan Home United menewaskan kelab itu di laman sendiri dan tempat lawan musim lalu,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aidil bagaimanapun tetap menyatakan kesetiaannya dan penghargaan terhadap skuad Helang Merah yang dibimbingnya pada musim ini tanpa perasaan berbelah bahagi.

"Walaupun saya ditawarkan jawatan berkenaan namun saya tetap menghormati dan menghargai kontrak saya dengan pengurusan Kedah yang bermula pada musim ini."

"Ini prinsip kerja saya selama ini dan saya tidak menganggap duit itu adalah segala-galanya jadi saya mahu terus fokus dengan kerjaya saya di Kedah." katanya.

Aidil digelar 'Pep Guardiola Singapura' adalah jurulatih muda yang berjaya membawa pasukan Home United menjadi juara AFC bagi peringkat Zon ASEAN termasuk menyingkirkan Persija Jakarta di gelanggang keramat mereka.

Selain itu, beliau juga mencatat rekod kejayaan untuk Home United bergelar naib juara Liga Singapura tahun lalu.

Berita Harian X