Rabu, 29 Mei 2019 | 9:43pm
Muhamad Syazwan Zaipol Bahari (kiri) dan Nazirul Afif Ibrahim. - Arkib NSTP
Muhamad Syazwan Zaipol Bahari (kiri) dan Nazirul Afif Ibrahim. - Arkib NSTP

Perak pinjamkan 2 pemain kepada PKNP FC

IPOH: Dua pemain Perak, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari dan Nazirul Afif Ibrahim dipinjamkan ke pasukan adik, PKNP FC bagi membantu kelab itu kekal dalam Liga Super musim ini. 

Keputusan itu dibuat bagi membantu kelab itu yang kini berada pada kedudukan bahaya apabila menghuni tangga kedua tercorot liga dan mungkin tergelincir ke Liga Perdana musim depan sekiranya keciciran pada baki tujuh perlawanan.   

Pengendali skuad The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic berkata, proses peminjaman sementara itu sudah dilakukan kedua-dua pengurusan pasukan hari ini dan dua pemain itu akan mula bermain dengan PKNP FC pada perlawanan akan datang.

Katanya, beliau mahupun pengurusan Perak tidak mempunyai masalah meminjamkan pemain kerana dua pasukan itu adalah pasukan adik-beradik.

"Kita bagaikan sebuah keluarga dan kita berikan pemain muda dan bagus kepada PKNP bagi membantu meningkatkan prestasi pasukan musim ini. 

"Kita harapkan kedua-dua mereka dapat membantu pasukan dan Perak akan beri bantuan sebanyak mana yang kami mampu," katanya ketika ditemui, hari ini.   

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan peminat bola sepak Perak agar Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi kembali ke pangkuan PKNP FC, pengurus The Bos Gaurus, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkata pasukannya masih memerlukan khidmat pemain berusia 25 tahun itu.

"Perak masih memerlukan Shahrel Fikri namun sebagai pengurus, keputusan itu bergantung kepada Presiden PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk cadangan itu," katanya. 

Berita Harian X