Selasa, 28 Mei 2019 | 12:12am
PEMAIN import dari Kyrgyztan, Edgar Bernhadt (kiri) bergambar bersama Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Shahrul Samsudin (kanan) selepas selesai majlis menandatangani kontrak sebagai pemain import baharu skuad Kedah pada musim ini. - NSTP/Ihsan KFA
PEMAIN import dari Kyrgyztan, Edgar Bernhadt (kiri) bergambar bersama Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Shahrul Samsudin (kanan) selepas selesai majlis menandatangani kontrak sebagai pemain import baharu skuad Kedah pada musim ini. - NSTP/Ihsan KFA

Kedah ikat pemain Kyrgyzstan

 

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini mengumumkan pemain Kyrgyzstan, Edgar Bernhadt sebagai pemain import baharu skuad Lang Merah menjelang berakhirnya fasa perpindahan pemain 29 Mei ini.

Dengan selesainya urusan mengikat pemain import ini, Kedah dilihat mengakhiri teka-teki pemain baharu yang mampu mengukuhkan kekuatan di bahagian tengah yang diperlukan sejak kecederaan melanda pemain import kuota Asia, Anmar Al Mubaraki sejak April lalu.

 

Kedah kini boleh terus memberi fokus meningkatkan keupayaan dengan memanfaatkan pengalaman ditimba Bernhadt bersama skuad kebangsaan Kyrgyzstan sejak 2014.

Dalam kenyataan dikeluarkan KFA, Bernhadt, 33, dilihat  bergambar bersama Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Samsudin selepas selesai menandatangani kontrak bersama skuad Lang Merah. 

"Beliau bakal mengisi kuota import Asia menggantikan Anmar Al Mubaraki yang masih dalam pemulihan kecederaan.

"Beliau yang beraksi di bahagian tengah akan memakai jersi bernombor 60 bagi baki musim 2019," kata kenyataan KFA.

Sebelum ini Bernhadt beraksi bersama GKS Tychy FC, Poland dan juga ketua pasukan kebangsaan Kyrgyztan yang beraksi dalam Piala Asia 2019. 

KFA turut yakin dengan kehadiran Bernhadt,  jentera tengah skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak dapat terus ditingkatkan dalam persediaan menjelang aksi separuh akhir Piala FA menentang FELDA United dan seterusnya tujuh lagi perlawanan Liga Super.

Berita Harian X