Isnin, 27 Mei 2019 | 12:29pm
MAURIZIO Sarri
MAURIZIO Sarri

Sarri selangkah sertai Juve?

LONDON: Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri dilaporkan bersetuju dengan terma untuk mengambil alih Juventus selepas pilihan utama, Pep Guardiola menolak tawaran gergasi Itali itu.

Juara Serie A itu sedang ‘memburu’ jurulatih baharu selepas mengumumkan Massimiliano Allegri akan meninggalkan kelab berkenaan selepas musim ini berakhir.

Difahamkan, pengurus Manchester City, Guardiola menjadi sasaran utama tetapi pengendali dari Sepanyol itu tidak berminat untuk meninggalkan jawatannya di Etihad.

Sarri yang cemerlang ketika mengemudi Napoli kini dianggap sebagai colon utama dan dijangka akan memuktamadkan spekulasi itu selepas perlawanan final Liga Europa membabitkan Chelsea dan Arsenal, awal pagi Khamis ini.

Antonio Conte dan Jose Mourinho juga dilaporkan antara pilihan buat Juve tetapi menurut media Itali, Sarri sudah pun mencapai persetujuan dengan kelab itu untuk menggantikan Allegri.

Laporan itu mendakwa Sarri meminta £6.1 juta (RM32.53 juta) setahun dengan kontrak selama tiga tahun tetapi ingin mengumumkannya secara rasmi selepas final Liga Europa di Baku, Azerbaijan.

Pengendali dari Itali itu juga berbincang dengan pakej kewangan bersama Chelsea untuk melepaskannya dirinya dari Stamford Bridge.

Sarri berdepan tempoh sukar di Chelsea dan berdepan kritikan keras peminat kelab itu pada musim pertamanya di London tetapi berpeluang untuk menghadiahkan kelab itu trofi selaku pengurus jika menewaskan Arsenal. - AGENSI

Berita Harian X