Selasa, 21 Mei 2019 | 7:20am
GRAHAM Potter. - Foto Reuters
GRAHAM Potter. - Foto Reuters

Brighton lantik Potter ganti Chris Hughton

LONDON: Kelab Brighton & Hove Albion melantik Graham Potter dengan kontrak empat tahun sebagai pengendali baharu menggantikan Chris Hughton yang dipecat minggu lalu.

Potter, yang menyambut hari jadi ke-44 semalam, adalah bekas pengurus Swansea selepas meningalkan kelab Sweden, Ostersunds Jun lalu dan berjaya membawa kelab Wales itu menduduki tangga ke-10 Liga Kejuaraan.

"Saya gembira berada di sini ketika hari jadi saya. Ia peluang terbaik untuk saya, saya sangat teruja dan bangga.”

Potter akan memulakan kerja membina semula kekuatan Brighton, yang menamatkan musim di tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris, hanya dua mata terpisah dari zon penyingkiran.

Ketika di Sweden, Potter berjaya mengubah nasib kelab Ostersunds yang beraksi di divisyen keempat liga hingga berjaya menjuarai Piala Sweden.

Pengerusi Brighton  memuji rekod hebat dimiliki Potter.

"Kami gembira berjaya mendapatkan khidmat salah seorang pengurus muda terhebat Inggeris,” kata Bloom dalam kenyataannya yang boleh diakses di pautan https://www.brightonandhovealbion.com/news/2019/may/potter-appointed-new....

"Graham Potter memiliki rekod cemerlang memajukan pasukan dengan gaya permainan menarik, memiliki halatuju jelas dan semangat berpasukan yang tinggi.

"Kami bangga kekal tiga musim di Liga Perdana dan kami sekarang mahu membina asas lebih kukuh yang sudah dilakukan Chris Hughton."

Potter yang juga bekas pemain pertahanan beberapa kelab antaranya, Birmingham City, Stoke City, Southampton dan West Bromwich Albion, sudah melakukan 400 penampilan dengan menjaringkan 13 gol sepanjang 13 tahun karier sebagai pemain. – Reuters

Berita Harian X