Selasa, 14 Mei 2019 | 11:53am
Riyad Mahrez meledak tujuh gol liga dan empat umpanan gol sepanjang musim ini. - Foto EPA
Riyad Mahrez meledak tujuh gol liga dan empat umpanan gol sepanjang musim ini. - Foto EPA

Mahrez mahu kekal bersama City

MANCHESTER: Pemain sayap Riyad Mahrez berkata dia tidak akan mencari kelab lain selain juara Liga Perdana Inggeris Manchester City walaupun kurang mendapat minit permainan di bawah kendalian Pep Guardiola.

Mahrez, yang menyertai kelab itu tahun lalu pada harga 60 juta pound (RM324.4 juta), hanya memulakan 14 perlawanan liga musim ini selepas Guardiola lebih gemar menggunakan Raheem Sterling dan Leroy Sane di bahagian sayap.

Pemain Algeria itu meledak tujuh gol liga dan empat umpanan gol sepanjang musim ini, termasuk satu dalam kemenangan 4-1 ke atas Brighton & Hove Albion yang mengesahkan kejuaraan, dan berkata dia akan terus bersaing untuk tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya amat gembira di sini,” kata Mahrez. “Saya tidak akan ke mana-mana kerana tidak bermain.

“Ia sebahagian daripada permainan. Saya perlu lebih kuat, kekal kuat. Ia sebahagian daripada personaliti saya.”

Mahrez, pemain terbaik Persatuan Pemain-Pemain Profesional (PFA) ketika dia membantu Leicester City menjuarai liga 2015-16, berkata dia sedar sukar untuk mendapatkan tempat dalam skuad Guardiola yang banyak mencipta rekod baharu.

City menjuarai liga tahun lalu dengan rekod 100 mata, memenangi 32 perlawanan dan meledak 106 gol.

“Ia bukan mudah untuk menjadi pasukan yang mantap dan pemain-pemain penting. 

“Saya tahu tahun pertama saya tidak akan mudah, tetapi saya yakin dengan diri saya dan tidak ragu-ragu dengan kualiti saya,” katanya.

Selain Liga Perdana, City turut memenangi Piala Liga di awal musim, dan mempunyai peluang meraih treble domestik Inggeris apabila menentang Watford pada final Piala FA Sabtu ini. - REUTERS

Berita Harian X