Selasa, 14 Mei 2019 | 7:09am
Hughton terpaksa angkat kaki walaupun berjaya membawa Brighton ke separuh akhir Piala FA. - Foto fail Reuters
Hughton terpaksa angkat kaki walaupun berjaya membawa Brighton ke separuh akhir Piala FA. - Foto fail Reuters

Brighton berat hati lepas Hughton

LONDON: Brighton memecat pengendalinya Chris Hughton semalam yang disifatkan pengerusi kelab, Tony Bloom sebagai keputusan paling sukar yang pernah diambil.

Hughton terpaksa angkat kaki walaupun berjaya membawa Brighton ke separuh akhir Piala FA dan mengekalkan status sebagai kelab Liga Perdana Inggeris untuk dua musim berturut-turut.

Keputusan itu pasti mengejutkan pengendali berusia 60 tahun itu, yang sebelum ini menyuarakan hasratnya untuk bangkit daripada kekalahan 4-1 kepada Manchester City pada hari terakhir dan beberapa kekecewaan lain sepanjang musim ini.

Bagaimanapun prestasi merosot di penghujung liga yang menyaksikan Brighton bergelut menyelamatkan diri daripada penyingkiran, memaksa Bloom membuat keputusan memecat Hughton.

“Tidak ragu-ragu lagi yang ini adalah keputusan paling sukar pernah saya buat sebagai pengerusi Brighton & Hove Albion, tetapi terpaksa saya lakukan berdasarkan prestasi di babak kedua musim ini,” kata Bloom.

“Kami hanya menang tiga daripada 23 perlawanan Liga Perdana sehingga mengancam status kami. Jadi sebab itu saya rasa kami perlu membuat perubahan.”

Pengendali Swansea Graham Potter antara calon pilihan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Hughton.

Nama-nama lain yang turut dikaitkan antaranya bos Derby Frank Lampard dan pengendali Ireland Utara Michael O’Neill. - AFP

Berita Harian X