Ahad, 12 Mei 2019 | 7:40am
PEMAIN Atalanta meraikan kemenangan selepas menewaskan Genoa 2-1. - Foto EPA
PEMAIN Atalanta meraikan kemenangan selepas menewaskan Genoa 2-1. - Foto EPA

Saingan Serie A makin sengit

MILAN: Atalanta melonjak ke tangga ketiga Serie A selepas kemenangan 2-1 ke atas Genoa dan meletakkan skuad dari Bergamo itu semakin hampir untuk kelayakan Liga Juara-Juara buat pertama kali dengan dua perlawanan berbaki musim ini.

Gol-gol babak kedua Musa Barrow dan Timothy Castagne meletakkan Atalanta dua mata di depan Inter Milan, yang akan menentang Chievo yang sudah tersingkir malam ini.

AC Milan turut menyalakan harapan untuk kembali ke kancah elit Eropah buat pertama kali sejak musim 2013-14 selepas Hakan Calhanoglu menanduk masuk gol tunggal untuk skuad kendalian Gennaro Gattuso dalam pertemuan dengan Fiorentina.

AC Milan kini di tangga kelima, satu mata di belakang Inter, dengan Roma di tempat keenam akan melayan kunjungan juara Serie A Juventus malam ini.

“Kemenangan hari ini amat penting, ketika garisan penamat semakin dekat, setiap mata menjadi lebih berharga,” kata pengendali Atalanta Gian Piero Gasperini.

“Secara matematik, kami hanya memerlukan beberapa mata lagi, tetapi ia juga memberi kami keyakinan menjelang final Piala Itali.

“Pasukan ini menampilkan kekuatan mental yang luar biasa.”

Juventus dan Napoli sudah layak ke Liga Juara-Juara musim depan, tetapi persaingan untuk dua tempat lagi semakin sengit.

Atalanta akan bertemu Juventus di Turin dan kembali ke Stadium Mapei menentang Sassuolo untuk perlawanan terakhir liga pada 26 Mei. – AFP

 

Berita Harian X