Ahad, 12 Mei 2019 | 12:25am
Pemain Perak, Ronaldo Henrique Silva (tiga kiri) bersama rakan sepasukannya meraikan jaringan pertama ketika menentang PKNP FC dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Perak tempah slot separuh akhir Piala FA

IPOH: Perak membuktikan statusnya sebagai Juara Piala Malaysia apabila menumpaskan pasukan ‘adik’ PKNP FC 2-1 pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Kemenangan tipis selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama sebelum ini membolehkan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic itu melayakkan diri ke pusingan separuh akhir bertemu Pahang.

Pemain import baharu skuad The Bos Gaurus, Ronaldo Henrique Silva berjaya menghasilkan dua gol sekaligus membuktikan pemilihannya ke dalam pasukan itu adalah tepat.

Perak di depan pada minit ke-23 hasil jaringan Ronaldo yang menerima umpanan rakan sepasukan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi. 

Gol pertama itu membangkitkan semangat skuad PKNP FC dibimbing Abu Bakar Fadzim dengan melakukan asakan ke kubu tuan rumah namun kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan 1-0.

Pada babak kedua, PKNP FC bagaikan mendapat tonik di bilik persalinan apabila menghasilkan gol menerusi jaringan Giancarlo Lopes pada minit ke-73 yang menerima hantaran pendek ketua pasukan, Mohd Hafiz Ramdan.

Pemain Perak, Ronaldo Henrique Silva (kanan) mengasak penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
Pemain Perak, Ronaldo Henrique Silva (kanan) mengasak penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Tersentak dengan gol penyamaan itu, anak buah Durakovic mula mengatur serangan menerusi beberapa serangan berbahaya namun gagal menghasilkan gol.

Pada minit ke-88, Ronaldo sekali lagi menceriakan penyokong The Bos Gaurus apabila melonjak tinggi untuk melakukan tandukan hasil sepakan sudut Muhammad Firdaus Saiyadi.

Semangat tinggi dipamerkan pemain skuad PKNP FC bagaimanapun gagal merobek gawang Perak dikawal penjaga gol Muhammad Hafizul Khairul Nizam Jothy dan kedudukan 2-1 kekal sehingga ke wisel penamat.

Berita Harian X