Selasa, 7 Mei 2019 | 12:53am
PENJAGA gol legenda Sepanyol, Iker Casillas. - Foto EPA
PENJAGA gol legenda Sepanyol, Iker Casillas. - Foto EPA

Casillas akui masa depannya samar

PORTO: Penjaga gol legenda Sepanyol, Iker Casillas meninggalkan hospital di Portugal, hari ini sebelum mendedahkan karier bola sepaknya kini samar, lima hari selepas dia mengalami serangan jantung ketika berlatih bersama pasukannya.

Pemain berusia 37 tahun itu, yang bermain untuk Porto sejak 2015 dikejarkan ke hospital, Rabu lalu selepas mengalami apa yang disifatkan kelab Portugal itu sebagai "acute myocardial infarction" ketika latihan.

“Saya merasa lebih baik,” kata Casillas kepada wartawan.  “Saya akan berehat selama beberapa minggu, atau mungkin beberapa bulan. Kebenarannya ialah saya tidak kisah.

“Apa yang penting adalah untuk berada di sini... Saya tidak tahu mengenai masa depan saya.”

Casillas yang memiliki 167 penampilan bersama Sepanyol memenangi Piala Dunia pada 2010 dan dua gelaran Kejuaraan Eropah (Euro) selain beraksi lebih 700 kali bersama Real Madrid.

“Kebenarannya ialah, ia sesuatu yang boleh berlaku kepada sesiapapun dan tidak kira masa,” katanya. “Sukar untuk bercakap mengenainya, tetapi kamu perlu bersyukur kerana saya bernasib baik.”

Media Portugal melaporkan Casillas menjalani pembedahan dan kempennya pada musim ini sudah pun berakhir. - AFP

Berita Harian X