Sabtu, 27 April 2019 | 6:08pm
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merasmikan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) projek Bandar Baru Setia Awan Perdana di Sitiawan, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merasmikan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) projek Bandar Baru Setia Awan Perdana di Sitiawan, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

Perak cadang tambah import baharu

SITIAWAN: Perak akan melakukan beberapa tindakan bagi memantapkan pasukan menghadapi saingan Liga Super seterusnya termasuk kemungkinan menambah satu atau dua lagi pemain import baharu apabila perpindahan dibuka awal bulan depan.  

Ketika ini, The Bos Gaurus (TBG) memiliki empat pemain import berbanding kuota lima ditetapkan dengan desas-desus seorang daripadanya mungkin digugurkan jika juara Piala Malaysia musim lalu itu membuat keputusan menambah dua import baharu.  

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dengan jurulatih, Mehmet Durakovic ketika makan malam bersama malam tadi.  

"Dalam perbincangan itu, Mehmet ada mengemukakan beberapa cadangan bagi memantapkan lagi pasukan terutama memasukkan pemain baharu.  

“Saya juga sudah sebut kepada Mehmet supaya tahap kecergasan pemain dipertingkatkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) projek Bandar Baru Setia Awan Perdana, di sini hari ini.  

Menteri Besar Perak itu juga meminta penyokong TBG dapat bersabar dengan prestasi pasukan itu yang tidak berapa baik ketika ini kerana apa dialami sekarang sebenarnya hampir sama dengan situasi awal musim sebelum ini.  

Ahmad Faizal berkata, cuma kelebihan musim lalu apabila Perak merangkul Piala Malaysia, selain menduduki tangga kedua Liga Super.  

"Musim ini prestasi di Liga Super tidak memberangsangkan, nasib tidak menyebelahi kita, (tetapi) kita berada di suku akhir Piala FA, banyak pasukan terbaik terkeluar, ini juga satu pencapaian terbaik.  

"PKNP FC juga tunjuk prestasi baik, kita tidak merudum, kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir Piala FA, 'its not too bad (tidaklah teruk sangat), maknanya ada pasukan dari Perak akan melangkah ke separuh akhir piala berkenaan," katanya.  

Mengenai desakan beberapa penyokong agar Perak mengambil jurulatih baharu, Ahmad Faizal berkata masalah pasukan tidak akan selesai jika setiap kali prestasi pasukan tidak baik, keputusan menukar jurulatih dilakukan.  

Katanya, masalah prestasi turun naik juga dihadapi pasukan ternama dan kelab bola sepak antarabangsa, justeru apa yang lebih penting ialah memikirkan keputusan dan perancangan jangka panjang. 

 

 

Berita Harian X