Sabtu, 20 April 2019 | 10:20am
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto Reuters
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto Reuters

Everton pembuka minggu sukar Man United

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer mempunyai baki lima perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini untuk membuktikan pengurusan kelab tidak silap dalam menjadikannya pengganti Jose Mourinho secara tetap bulan lalu.

Selepas bermula cemerlang sebagai pengendali sementara kelab, di mana dia memenangi lapan perlawanan pertamanya dan hanya tewas sekali dalam 17 perlawanan awal, prestasi United mula merosot.

Lima kekalahan hadir dalam tujuh perlawanan terakhir mereka, deretan keputusan yang menyaksikan United tersingkir daripada saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara serta menjejaskan peluang memburu kedudukan dalam kelompok empat teratas.

Sejak bekas penyerang United itu dilantik menjadi pengendali tetap akhir Mac lalu, mereka hanya menang dua daripada lima perlawanan, 2-1 ke atas Watford dan West Ham di laman sendiri.

“Jika dibandingkan pada 19 Disember dan di mana kami berada sekarang, saya rasa semua orang boleh membayangkan apa yang boleh dilakukan dengan lima perlawanan berbaki,” kata Solskjaer.

Musim United berakhir dengan kunjungan ke Huddersfield yang sudah tersingkir dan perlawanan di laman sendiri menentang Cardiff yang juga tidak diancam penyingkiran.

United akan bertandang ke laman Everton esok, yang menundukkan Chelsea dan Arsenal pada dua perlawanan terakhir di laman mereka, sebelum melayan kunjungan Manchester City dan Chelsea di Old Trafford.

Ketiga-tiga perlawanan itu akan menentukan sama ada United mampu mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara yang turut menjadi buruan Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspur.

Ketiga-tiga kelab London itu turut berpeluang di pentas Eropah – dengan Spurs sudah mara ke kelompok empat terakhir Liga Juara-Juara selepas menundukkan City manakala Arsenal dan Chelsea di separuh akhir Liga Europa. – AFP 

Berita Harian X