Sabtu, 13 April 2019 | 11:21pm
PENGARAH barang dagangan Liverpool FC, Mike Cox (kanan) bergambar bersama Pengerusi AlIkhsan, Ali Hassan Mohd Hassan memeterai perjanjian di Stadium Anfield. - Foto Liverpoolfc.com
PENGARAH barang dagangan Liverpool FC, Mike Cox (kanan) bergambar bersama Pengerusi AlIkhsan, Ali Hassan Mohd Hassan memeterai perjanjian di Stadium Anfield. - Foto Liverpoolfc.com

Liverpool FC, Al-Ikhsan Sports jalin kerjasama

KUALA LUMPUR: Liverpool FC menjalin kerjasama dengan syarikat pengedar barangan sukan terbesar Malaysia, Al-Ikhsan Sports menerusi perkongsian baru yang akan membolehkan lebih ramai peminat di rantau ini mendapat akses kepada barangan rasmi kelab berkenaan.

Perjanjian untuk tempoh beberapa tahun itu menyaksikan Liverpool dan Al-Ikhsan bekerjasama membuka lebih daripada 55 kedai dalam kedai dan tiga kedai sendiri di seluruh Malaysia selain kios di pusat membeli-belah dan laman web e-dagang khusus perkhidmatan di rantau ini.

Sejumlah 27 kedai dalam kedai pertama akan dibuka di seluruh Malaysia mulai Selasa ini sekali gus memberi akses yang lebih kepada penyokong kelab itu untuk mendapatkan replika barangan jenama New Balance selain cenderahati rasmi Liverpool FC, pakaian dan aksesori lain.

Al-Ikhsan Sports mula ditubuhkan pada 1993 dan sejak itu menjadi syarikat pengedar barangan sukan terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara.

Pengarah barang dagangan Liverpool FC, Mike Cox berkata: "Kami mengalu-alukan kehadiran Al-Ikhsan dalam keluarga bola sepak global kami. 

“Kerjasama seperti ini sangat penting untuk kelab bagi memastikan kami mampu mendekati semua penyokong kami yang berada di seluruh dunia.

"Hubungan baru kami dengan Al-Ikhsan akan memberikan nilai yang sangat besar kepada kelab ini dengan fokus kami adalah untuk mengembangkan operasi runcit kami di Malaysia dan kawasan sekitarnya," katanya menerusi kenyataan dalam laman web rasmi www.liverpoolfc.com.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Pilutla berkata: "Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan Liverpool FC bagi mendekati peminat kelab itu di seluruh Malaysia.

“EPL (Liga Perdana Inggeris) adalah liga bola sepak yang paling popular di Malaysia dan Liverpool FC adalah salah satu daripada kelab yang paling diikuti.

Malaysia adalah antara yang tertinggi apabila ia membabitkan tahap pertandingan bola sepak di peringkat global," katanya.

Berita Harian X