Khamis, 11 April 2019 | 2:12pm
Pemain tengah Chelsea, Danny Drinkwater. - Foto fail
Pemain tengah Chelsea, Danny Drinkwater. - Foto fail

Drinkwater tak ada masa depan di Chelsea

LONDON: Pemain tengah Chelsea, Danny Drinkwater tidak mempunyai masa depan di kelab Liga Perdana Inggeris itu kerana corak permainannya tidak sesuai dengan gaya pengurus Maurizio Sarri.

Drinkwater menyertai Chelsea dari Leicester City dengan yuran perpindahan dilaporkan 35 juta pound (RM188.78 juta) pada 2017 tetapi kali terakhir dia bermain bersama kelab London itu adalah pada aksi Perisai Komuniti, Ogos lalu.

Pemain tengah itu didakwa kerana didapati mabuk ketika memandu awal minggu ini dan dipinggirkan daripada skuad Chelsea bagi bertemu Slavia Prague di suku akhir Liga Europa, awal pagi esok.

“(Drinkwater) tidak bermain kerana … dia tidak sesuai dengan sistem saya, dengan cara permainan saya,” kata Sarri.

“Mungkin saya silap tetapi ia adalah pendapat saya. Saya bercakap dengannya pada Ogos, apabila jendela perpindahan masih terbuka dan berkata dia sepatutnya mencari sesuatu yang berbeza kerana dia tidak akan bermain. Dan saya katakan alasannya, alasan saya.

“Saya tak tahu (kenapa dia putuskan untuk kekal). Mungkin dia berharap kami dapat mengubah sistem yang ada. Saya mempunyai hubungan yang baik dengannya kerana bagi saya, dia adalah budak yang baik … tetapi dia tak sesuai untuk saya.”

Sarri berhasrat membuat lima atau enam pertukaran pada perlawanan Liga Europa dan berkata pasukannya perlu bersedia dalam memastikan keputusan.

“Bagi pendapat saya, ia adalah perlawanan yang sangat berbahaya buat kami,” katanya. Slavia adalah pasukan yang pantas, jadi kami perlu menjadi sangat, sangat kompak dan bertahan dengan sangat baik.” - Reuters

Berita Harian X