Rabu, 10 April 2019 | 3:53pm
EDEN Hazard mendedahkan masa depannya di Chelsea akan ditentukan pada penghujung musim. - Foto Reuters
EDEN Hazard mendedahkan masa depannya di Chelsea akan ditentukan pada penghujung musim. - Foto Reuters

Tunggu hingga penghujung musim - Hazard

LONDON: Eden Hazard mendedahkan masa depannya di Chelsea akan ditentukan pada penghujung musim dan pasti ‘sukar’ untuk kelab itu terlepas aksi di Liga Juara-Juara untuk dua musim berturut-turut.

Kapten skuad kebangsaan Belgium itu kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid ketika ini dengan rakan sepasukannya di Chelsea, Gonzalo Higuain berkata tidak mudah untuk menghalang penyerang itu meninggalkan Stamford Bridge.

Chelsea dilaporkan meletakkan nilai besar £100 juta pound (RM535.46 juta) bagi Hazard sekali pun pengurus, Maurizio Sarri berkata jumlah berkenaan ‘terlalu murah’ bagi pemain berusia 28 tahun itu.

“Saya hanya fokus terhadap Chelsea,” kata Hazard. “Satu bulan berbaki, kedudukan keempat, cuba untuk memenangi Liga Europa. Bagi peminat saya fikir perkara paling utama ialah apabila mereka melihat saya di atas padang, mereka perlu faham yang minda saya adalah bersama Chelsea. Jadi kita akan lihat nanti.”

Chelsea dijadual bertemu Slavia Prague bagi aksi suku akhir pertama Liga Europa, awal pagi Jumaat ini dengan penuh bersemangat selepas kemenangan bergaya 2-0 ke atas West Ham, awal pagi Isnin lalu dengan Hazard menjaringkan kedua-dua gol.

Selepas menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan kelima di bawah kendalian Antonio Conte musim lalu, sasaran utama Chelsea adalah kembali ke saingan elit itu menerusi dua jalan - menjuarai Liga Europa atau menamatkan saingan domestik di tangga empat terbaik.

“Dua tahun tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara berturut-turut tidak mudah untuk pemain dan juga kelab,” kata Hazard. “Chelsea perlu bermain di Liga Juara-Juara setiap tahun, tetapi ia sukar kerana kami bukan satu-satunya pasukan yang cuba berada di situ.”

Tetapi sedikit melegakan peminat Blues, Hazard turut memberikan sedikit harapan dia akan kekal di Stamford Bridge bersama Sarri.

“Secara statistik, ini adalah musim terbaik saya,” katanya. “Saya gemar untuk mengatakannya, kerana cara dia berfikir mengenai bola sepak adalah sama dengan cara saya berfikir mengenai bola sepak. 

“Kami menunjukkan pada dua ke tiga minggu lalu, kami boleh mengadaptasi dengan baik bersama pengurus, dan kami mahu menamatkan musim ini dengan baik.” - Agensi

Berita Harian X