Rabu, 10 April 2019 | 9:53am
Pengurus Arsenal, Unai Emery. - Foto EPA
Pengurus Arsenal, Unai Emery. - Foto EPA

Emery tuntut konsistensi Gunners

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery menggesa skuad kendaliannya supaya tampil lebih konsisten menjelang pertembungan suku akhir Liga Europa menentang jaguh Itali, Napoli, awal pagi Jumaat ini.

Emery berdepan tamparan hebat dalam usaha memimpin kelabnya layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan apabila tumbang 1-0 kepada Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, minggu lalu.

Kekalahan susulan prestasi longlai itu menyaksikan Gunners tergelincir ke tangga kelima liga sekali gus meletakkan harapan mereka untuk menamatkan saingan liga di kedudukan empat teratas berada dalam situasi bahaya.

Begitupun, Arsenal boleh menempah tiket beraksi di saingan elit Eropah itu jika memenangi Liga Europa dan Emery bertekad untuk memastikan pemainnya tidak lagi longlai ketika menerima kunjungan Napoli bagi aksi pertama peringkat lapan terbaik itu.

“Kami perlu konsisten pada perlawanan berikutnya dan jika kami boleh melakukannya, kami boleh menang,” kata Emery. “Ada kekecewaan dalam pasukan disebabkan keputusan ini, tetapi kami tidak akan mengubah minda dan kerja kami.”

Sekali pun bergelut ketika menempuh aksi di gelanggang lawan, Arsenal begitupun cemerlang di gelanggang sendiri dan menang kesemua tujuh perlawanan di Emirates dalam semua kejohanan termasuk aksi timbal balik menentang BATE Borisov dan Rennes di Liga Europa.

Menentang Napoli yang dianggap antara kuasa besar Itali, Emery berharap pemainnya Laurent Koscielny dan Granit Xhaka sempah pulih daripada kecederaan manakala Aaron Ramsey serta Pierre-Emerick Aubameyang boleh disenaraikan selepas diletakkan di bangku simpanan ketika menentang Everton.

“Apabila kamu tewas satu perlawanan, mungkin kamu boleh melihat kepada pemain yang tidak beraksi, tetapi saya fikir ia jarang berlaku,” kata Emery. “Kami menang perlawanan dengan pemain lain, sistem yang lain, dan kami perlu sentiasa menjadi cekap.” - AFP

Berita Harian X