Rabu, 10 April 2019 | 8:23am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola (kanan). - Foto Reuters
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola (kanan). - Foto Reuters

Guardiola kekal tenang

LONDON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola tidak cemas sekali pun skuad kendaliannya dikejutkan dengan kekalahan 1-0 oleh Tottenham Hotspur pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

City hanya tewas satu daripada 23 perlawanan dalam semua kejohanan sebelum ini, perjalanan yang menyaksikan mereka menjulang Piala Liga, mara ke final Piala FA dan bersaing sengit dengan Liverpool bagi trofi Liga Perdana Inggeris.

Mereka menguasai sebahagian besar perlawanan menentang Tottenham, tetapi tampak terdedah ketika menerima serangan balas selain hantaran yang tidak begitu menjadi.

Sekali pun kekalahan tidak menyisihkan City daripada prospek merangkul empat kejuaraan musim ini, tetapi laluan makin sukar apabila rekod mereka dalam perlawanan timbal balik tidak bagus selepas tewas aksi pertama sejak 1971.

City tewas 3-0 di Liverpool pada aksi suku akhir pertama musim lalu justeru mimpi ngeri yang sama mungkin menghantui mereka kali ini.

“Musim lalu lebih teruk,” kata Guardiola. “Selain beberapa peluang yang kami lepaskan menerusi percubaan bola mati dan serangan balas, kami mengawal perlawanan dan bermain dengan amat baik. Saya lebih gembira jika kami menjaringkan gol tetapi situasi tidak menjadi seperti itu.”

Kegagalan Sergio Aguero untuk menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama selepas Danny Rose didapati bersalah oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) menampan rembatan Raheem Sterling menggunakan tangannya turut tidak membantu.

Sekali pun melakukan banyak serangan ke kawasan Spurs, City hanya mampu melakukan dua cubaan tepat ke gawang, berbeza ketika mereka meledak 10 gol mengatasi Schalke pada pusingan terdahulu.

City juga tampak tumpul ketika menewaskan Brighton & Hove Albion pada aksi separuh akhir Piala FA di Wembley, minggu lalu tetapi Guardiola tidak mahu mengkritik pasukannya.

“Apabila kami tidak bermain dengan baik, saya akan menyatakannya, tetapi saya tidak merasainya,” kata pengendali dari Sepanyol itu. “Mereka adalah pasukan yang banyak memberi tekanan tetapi mereka tidak mampu melakukannya, terutama pada babak kedua.

“Kami juga bermain dengan amat baik ketika hantaran jauh. Harapnya pada minggu depan, penyokong kami boleh memberikan sokongan kepada kami setiap minit.” - REUTERS

Berita Harian X