Sabtu, 6 April 2019 | 11:06am

Wolves, Watford buru slot final

LONDON: Wolves dan Watford akan berentap dalam aksi separuh akhir Piala FA, esok untuk merebut gelaran sebagai pasukan terbaik di luar kelompok enam pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Wolves kendalian Nuno Espirito hanya satu tangga di luar kelompok enam terbaik selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas Manchester United pada minggu ini, diikuti Watford yang kekurangan satu mata.

Kedua-dua kelab berkenaan akan bertembung di Wembley untuk menempah aksi final berdepan pemenang perlawanan antara Manchester City dan Brighton.

Wolves yang dibiayai syarikat China, Chinese Fosun International, berbelanja besar sejak dinaikkan pangkat pada tahun lalu selepas enam musim beraksi di liga bawahan, mencuri 13 mata daripada enam pasukan utama EPL dalam kempen kali ini.

Peningkatan mendadak itu bagaimanapun dipalit dengan kontroversi - apabila beberapa kelab menggesa Liga Bolasepak England (EFL) untuk menyiasat pengaruh dibawa ejen pemain, Jorge Mendes ke Molineux.

Agensi Gestifute kepunyaan Mendes, yang mana pelanggannya termasuk bos Wolves serta pemain Ruben Neves, Diogo Jota dan Ivan Cavaleiro, berjaya memastikan pasukan itu menyambar beberapa nama besar daripada jangkauan pencabar mereka.

Namun, EFL memutuskan tiada sebarang isu pelanggaran undang-undang timbul membabitkan hubungan kelab berkenaan dengan Mendes.

Dan hanya empat kelab EPL lain berbelanja kecil bagi membayar yuran ejen berbanding kelab Midlands itu sejak dua jendela perpindahan lalu dengan terbaru mereka merekrut Raul Jimenez yang sebelum ini dipinjamkan dari Benfica.

Pemain pertahanan, Matt Doherty, berkata peningkatan mendadak kelab berkenaan amat menakjubkan.

"Ia amat luar biasa," kata pertahanan Ireland itu yang bersama pasukan itu sejak mereka tersungkur ke divisyen tiga liga bola sepak England pada tahun 2013.

"Anda perlu ingat ia berlaku dalam tempoh yang singkat yang mana semua ini berlaku. Tidak lama dulu kami berada dalam Liga Satu." - AFP

Berita Harian X