Khamis, 21 March 2019 | 12:55pm
OLIVIER Giroud dan Paul Pogba ketika ditemui pada sesi latihan Clairefontaine-en-Yvelines. - Foto AFP
OLIVIER Giroud dan Paul Pogba ketika ditemui pada sesi latihan Clairefontaine-en-Yvelines. - Foto AFP

Giroud cari minit permainan

LONDON: Penyerang Chelsea Olivier Giroud mahu kembali ke Perancis apabila kontraknya berakhir musim ini selepas kecewa dengan jumlah minit permainan di bawah pengendali baharu Chelsea Maurizio Sarri.

Giroud tidak pernah tersenarai dalam kesebelasan utama Chelsea untuk saingan Liga Perdana Inggeris sejak kelab menandatangani penyerang Argentina Gonzlao Higuain pada Januari.

“Masa depan mungkin sibuk musim panas ini,” kata Giroud. “Saya tidak takut untuk turun satu tahap bagi mendapatkan lebih minit permainan. Saya mungkin menamatkan karier saya di Perancis.”

Penyerang itu, yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis tahun lalu, meledak 33 gol dalam 73 perlawanan liga bersama Montpellier sebelum berpindah ke Arsenal pada tahun 2012, dan namanya berada dalam radar Olympique Lyonnais.

Penyerang 32 tahun itu kerap diturunkan dalam saingan Liga Europa oleh Sarri dan dia adalah penjaring terbanyak kejohanan itu musim ini dengan sembilan gol dalam sembilan penampilan, tetapi dia tidak yakin mampu menjadi pilihan pengendali itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

“Hari ini saya merasakan seperti tidak wujud saingan (untuk posisi penyerang) sejak Januari. Ia seperti itu, saya sedar yang saya hanya akan beraksi di Liga Europa.

“Saya cuba melakukan apa yang perlu untuk menjadi lebih berkesan dan penting buat pasukan,” katanya.

Chelsea kini di tangga keenam Liga Perdana, tiga mata di bawah Arsenal yang menghuni tangga keempat – tiket kelayakan terakhir untuk ke Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad kendalian Sarri turut berpeluang mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara dengan memenangi Liga Europa, di mana mereka akan berdepan Slavia Prague pada suku akhir. – REUTERS

Berita Harian X