Sabtu, 16 March 2019 | 4:05pm
OLIVIER Giroud peraga aksi bertenaga ketika menentang Dynamo Kyiv pada saingan Liga Europa di Ukraine. - Foto EPA
OLIVIER Giroud peraga aksi bertenaga ketika menentang Dynamo Kyiv pada saingan Liga Europa di Ukraine. - Foto EPA

Giroud, Higuain buat Sarri 'pening'

LIVERPOOL: Hatrik Olivier Giroud di Dynamo Kiev bukan saja membawa Chelsea menghampiri gelaran Liga Europa, tetapi ia turut mencetus persoalan buat pengurus, Maurizio Sarri adakah tindakannya membariskan Gonzalo Higuain sebagai penyerang utama tepat.

Selepas meraih kemenangan 5-0 ke atas Dynamo, semalam Giroud menyuarakan kekecewaannya selepas jarang diturunkan beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris bagi memberi laluan kepada Higuain.

Sumbangan penyerang Perancis yang menjuarai Piala Dunia tahun lalu itu di pentas Eropah bermakna Sarri kini berdepan dilema sama ada ingin menyenaraikan Giroud bagi aksi Liga Perdana menentang Everton, esok atau membariskan Higuain yang terlepas aksi di Ukraine susulan masalah kesihatan.

Di pentas Eropah, Giroud menjadi tunjang serangan Chelsea yang mara ke suku akhir selepas meledak sembilan gol dalam sembilan perlawanan tetapi penampilannya di peringkat domestik mengecewakan selepas langsung tidak disenarai dalam kesebelasan utama pada 2019.

Sarri meletakkan kepercayaannya terhadap Higuain yang tiba secara pinjaman dari Juventus, penghujung Januari lalu tetapi selepas tampil dengan aksi baik di sejurus kehadirannya, prestasi penyerang Argentina itu mula merosot dengan Giroud mula membuktikan ketajamannya masih berbisa.

Kedua-dua penyerang Chelsea ini bukannya muda dengan Giroud, 32 manakala Higuain, 31, dengan kedua-duanya bergantung kepada pengalaman, kebijaksanaan dan kekuatan berbanding kepantasan.

Gaya permainan Giroud yang kadang-kala sudah menunjukkan unsur penuaan dikatakan tidak menepati kehendak Sarri yang bertindak membawa bekas pemainnya yang pernah bersama Napoli, Higuain ke London.

Begitupun, Higuin bukan satu-satunya penyerang berkualiti dunia memerlukan masa untuk mengadaptasi di Liga Perdana terutama dari Chelsea untuk membuktikan kualitinya.

Tetapi masalahnya ialah bagi Sarri adalah dalam pemburuan mengisi empat terbaik liga, ia bermakna Chelsea tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan.

“Kami berjuang untuk kelompok empat terbaik, ia tidak mudah untuk kami, setiap perlawanan di tahap ini pada musim ini amat penting,” kata Sarri. - AFP

Berita Harian X