Sabtu, 16 March 2019 | 10:39am
CRISTIANO Ronaldo. - Foto EPA
CRISTIANO Ronaldo. - Foto EPA

Ronaldo kembali perkuat Portugal

LONDON: Cristiano Ronaldo kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan Portugal buat pertama kali sejak Piala Dunia di Russia, tahun lalu.

Penyerang berusia 34 tahun itu, yang menjadi pemain Portugal memiliki kaps terbanyak dengan 154 penampilan dan penjaring terbanyak dengan 85 gol tidak beraksi dalam sebarang kejohanan bersama skuad kebangsaannya sejak pertengahan tahun lalu.

Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos sebelum ini menjelaskan perjanjian bersama sudah dimeterai bagi memberikan Ronaldo rehat secukupnya susulan perpindahannya ke Juventus dari Real Madrid.

Begitupun, beliau tetap menyuarakan perasaan ragu mengenai masa depan pemain bintangnya itu pada November lalu.

Tetapi tanpa kelibat Ronaldo, juara Eropah 2016 itu tetap menyinar apabila memenangi saingan peringkat kumpulan Liga Negara-Negara Eropah mengatasi Poland dan Itali untuk layak ke separuh akhir pada aksi yang dijadualkan pada Jun di Portugal.

Ketika sidang media bagi mengumumkan senarai 25 pemain bagi perlawanan kelayakan Euro 2020, semalam Santo mencipta kejutan dengan membariskan nama Ronaldo.

“Cristiano adalah pemain terbaik dunia dan dia kembali bersama pasukan,” kata Santos. “Mana-mana pasukan akan bertambah kuat dengan kehadirannya.”

Portugal menanti kunjungan Serbia di Lisbon pada 22 Mac sebelum melayan Ukraine, tiga hari kemudian. - Reuters

Skuad Portugal

Penjaga gol: Beto (Goztepe), Jose Sa (Olympiakos), Rui Patricio (Wolves)

Pertahanan: Joao Cancelo (Juventus), Nelson Semedo (Barcelona), Jose Fonte (Lille), Pepe (FC Porto), Ruben Dias (Benfica), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund), Mario Rui (Napoli)

Tengah: Danilo Pereira (FC Porto), Ruben Neves (Wolves), William Carvalho (Real Betis), Bruno Fernandes (Sporting), Joao Mario (Internazionale), Joao Moutinho (Wolves), Pizzi (Benfica)

Penyerang: Bernardo Silva (Manchester City), Joao Felix (Benfica), Goncalo Guedes (Valencia), Rafa Silva (Benfica), Andre Silva (Sevilla), Cristiano Ronaldo (Juventus), Diogo Jota (Wolves) and Dyego Sousa (SC Braga).

Berita Harian X